suria

Keputusan Gantung Kit Siang Dibuat Ahli Parlimen - Pandikar

Tan Sri Pandikar Amin Mulia
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menegaskan bukan keputusan beliau untuk menggantung Ahli Parlimen DAP-Gelang Patah, Lim Kit Siang selama enam bulan daripada menghadiri sidang Parlimen malah ia merupakan keputusan oleh majoriti ahli Parlimen.

Beliau berkata Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak boleh membuat keputusan sendiri untuk menghukum mana-mana ahli Parlimen sebaliknya ia dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat.

"Saya tak boleh buat usul sendiri, yang menghukum Gelang Patah (Kit Siang) adalah Ahli-Ahli yang Berhormat sendiri bukan saya, Peraturan Mesyuarat adalah  di bawah Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan, saya bukan boleh pandai-pandai buat tafsiran tanpa ada sandaran kepada peraturan itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen Khamis.

Persidangan Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan usul menggantung Kit Siang  selepas beliau tidak menarik balik kenyataan dan memohon maaf tanpa syarat berhubung tuduhannya terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Kit Siang digantung selepas didakwa menuduh Pandikar menyalahguna kuasanya sebagai Speaker untuk mensabotaj siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap syarikat pelaburan strategik millik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pandikar berkata perkara itu harus difahami untuk tidak menimbulkan salah faham masyarakat bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat hanya mengikut telunjuk anggota Parlimen.

Katanya, Yang Dipertua Dewan Rakyat bagaimanapun mempunyai kuasa untuk membuat tafsiran ke atas semua Peraturan Mesyuarat dan mesti diterima sama ada anggota Dewan Rakyat bersetuju atau tidak pada dasarnya.

"Kalau tidak diberi kuasa kepada Yang Dipertua Dewan untuk mentafsir sama ada (usul) diterima atau tidak dan semua (anggota Parlimen) mempunyai tafsiran sendiri...kamu nampak sendiri tadi semua pun berdiri dengan tafsiran masing-masing, maka tafsiran Yang Dipertua Dewan yang harus diambil kira sama ada diterima atau tidak," katanya.

Selepas pengundian dibuat terhadap usul menggantung Kit Siang, sebanyak 107 ahli Parlimen bersetuju, 77 membantah dan seorang berkecuali.

Sementara itu, Ahli Parlimen BN-Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata usul menggantung itu tiada kaitan dengan 1MDB tetapi sebaliknya dakwaan serius oleh Kit Siang yang dianggap menghina Speaker dan Dewan.

Ditanya sama ada tindakan Kit Siang menyentuh isu 1MDB demi kepentingan awam, Tiong berkata: "Saya tidak fikir beliau mengorbankan diri demi kepentingan awam."

"Adalah jelas niat mereka (pembangkang) untuk mencetus kekeliruan dan rasa simpati dengan membangkitkan emosi rakyat untuk meraih sokongan politik serta membuat Dewan kelihatan teruk," katanya.

Beliau berkata sebagai ahli politik veteran dengan pengalaman selama 40 tahun di dalam Dewan, Kit Siang semestinya memahami Peraturan Tetap dewan.

Artikel Berikut

Artikel Lain