AirAsia pada Khamis memulakan penerbangan terus pertama dari Kuala Lumpur ke Maldives.
Menurut kenyataan AirAsia pada Jumaat, laluan Kuala Lumpur - Male (Maldives) kini eksklusif kepada AirAsia dan tetamu dari Incheon, Osaka, Hong Kong, Shenzen, Bangkok, Gold Cost, dan Pulau Pinang, untuk berhubung terus ke destinasi percutian indah itu.
Sempena penerbangan sulung itu, beberapa resort di Maldives kini menawarkan diskaun dan keistimewaan eksklusif sehingga 40 peratus penginapan di Holiday Inn, Sheraton, W Retreat and Spa dan banyak lagi, kata syarikat penerbangan tambang rendah itu.
Menurut Ketua Komersial AirAsia Berhad Spencer Lee, syarikat penerbangan itu merupakan syarikat penerbangan tunggal yang menghubungkan Malaysia terus ke Maldives.
AirAsia menawarkan tiga penerbangan seminggu, masing-masing pada Selasa, Khamis dan Sabtu menerusi penerbangan AK72 (KL-Maldives) dan AK73 (Maldives-KL).