MELAKA: Mayat dua kanak-kanak perempuan ditemui berpelukan di bawah katil dalam kebakaran sebuah rumah di Tanjung Minyak di sini petang Jumaat. Nur Maisarah Balqis Rosghazali, 7, dan adiknya Nur Qalisha Balqis, 6, ditemui rentung pada pukul 5.55 petang oleh anggota bomba. Timbalan Penguasa Bomba (Operasi) Melaka, Kamarulzaman Mohd Din berkata bapa mangsa Rosghazali Shapie berusia 40-an pula diselamatkan orang awam selepas pengsan akibat terhidu asap tebal ketika cuba menyelamatkan kedua-dua anaknya itu. "Bomba menerima panggilan pada pukul 5.38 petang dan tiba di lokasi lapan minit kemudian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian. Katanya bomba dapat mengawal api daripada merebak pada pukul 6.20 petang dan siasatan awal mendapati api dipercayai berpunca dari bilik tengah rumah berkenaan sebelum merebak dan memusnahkan hampir 70 peratus kediaman itu. Kamarulzaman berkata ketika kejadian bapa mangsa berada di luar rumah manakala ibu mereka bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi. Beliau berkata mayat adik-beradik itu dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat manakala bapa mereka menerima rawatan di hospital sama. Katanya kebakaran berkenaan turut menyebabkan kereta milik keluarga mangsa mengalami kerosakan. "Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.