suria

Bajet 2016 Dijangka Lebih Realistik

Najib menyemak fail Rahsia Besar semasa meninjau persiapan akhir Bajet 2016 di Kementerian Kewangan malam Khamis. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Bajet 2016 berkemungkinan menjanjikan sesuatu untuk rakyat termasuk golongan kelas pertengahan, tetapi jangkaan harus realistik.

Salah satu belanjawan yang paling mencabar setakat ini bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ia dijangka memberi manfaat kepada semua peringkat masyarakat dan menggalakkan sektor utama dan pada masa sama lebih berjimat cermat dalam perbelanjaan.

Akan ada langkah-langkah untuk membantu mengimbangi kenaikan kos sara hidup termasuk memperuntukkan lebih banyak skim seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah.

Isu perumahan dijangka menjadi salah satu keutamaan dalam pembentangan bajet kali ini.

Perdana Menteri dalam mesej pra-Bajet 2016 pada Khamis berkata kerajaan berada dalam kedudukan baik untuk terus mendahulukan rakyat.

Bajet ini akan menyediakan bantuan terutamanya kepada golongan paling mudah terjejas bagi menangani kenaikan kos sara hidup, menyokong sektor swasta dengan dasar pro perniagaan dan memastikan pertumbuhan inklusif, meningkatkan pembangunan modal insan dan meningkatkan produktiviti, inovasi dan teknologi hijau.

"Saya ada rancangan dan ia membuahkan hasil. Saya tidak akan terganggu kerana kesannya amat serius jika rancangan ini tidak dijayakan.

"Bajet 2016 akan membuktikan bagaimana rancangan ini akan meningkatkan kehidupan semua rakyat Malaysia dan meneruskan langkah seterusnya untuk mencapai Wawasan 2020 dan status sebagai sebuah negara maju.

Masa depan dan kebajikan semua rakyat Malaysia adalah keutamaan saya," tegas beliau.

Seorang pegawai kanan Kementerian Kewangan berkata "kami mempunyai sesuatu untuk semua pihak".

Bajet kali ini mungkin menawarkan insentif kepada sektor utama tertentu yang mahu dipromosikan kerajaan dan ia komited dalam meneruskan projek infrastruktur utama seperti Lebuhraya Pan Borneo dan transit aliran ringan dan projek sistem Transit Aliran Massa (MRT).




Bajet 2016, realistik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Arnold Kongsi Rahsia Kejayaan

Artikel Lain