suria

Jerebu: Ahli Perniagaan Ancam Saman Indonesia RM429 Juta

SUNGAI PETANI: Seorang ahli perniagaan membuat laporan polis, mengancam untuk menyaman kerajaan Indonesia hampir setengah juta ringgit berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk.

"Jika saya menang kes itu, saya akan derma kepada sekolah-sekolah dan badan kebajikan yang memerlukan," kata M. Gunasekaran.

Bapa kepada tiga anak dari Taman Kempas di sini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kepala Batas, Pulau Pinang pada Rabu.

Sejak itu, laporan polis itu menjadi viral.

Ketika dihubungi The Star, Gunasekaran berkata beliau sudah tidak tahan lagi dengan keadaan jerebu yang semakin buruk melanda negara ini.

Beliau berkata jerebu menyebabkan dia dan juga keluarganya mengalami kesukaran untuk bernafas.

"Saya serius mengenai laporan yang dibuat kerana jerebu menjejaskan kesihatan anak-anak saya begitu juga orang lain.

"Saya merancang untuk membawa kes ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan mahu menuntut AS$100 juta (RM429 juta) dari kerajaan Indonesia," katanya.

Beliau berkata sekiranya tiada tindakan diambil, jerebu yang berlaku setiap tahun, akan kembali melanda negara pada tahun depan.

"Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ribuan anak kecil terjejas akibat penutupan sekolah.

"Jika cerita saya tidak benar, anda boleh saman saya, tetapi semua orang terjejas dengan jerebu, bukan?," katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Azmi Adam mengesahkan menerima laporan polis itu.

"Kami tidak menghalang orang ramai daripada membuat laporan polis.

"Oleh kerana tiada unsur jenayah, kami tidak akan menyiasat laporan tersebut dan akan membiarkan pengadu meneruskan niatnya untuk menyaman kerajaan Indonesia atas kehendaknya sendiri," katanya.

jerebu, saman, Indonesia

Artikel Sebelum

Arnold Kongsi Rahsia Kejayaan

Artikel Lain