suria

Rokok Elektronik: Malindo Air Kaji Prosedur Keselamatan

PUTRAJAYA: Malindo Air akan berbincang dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk mengkaji prosedur keselamatan dan melaksanakan strategi bagi mengelak insiden bateri rokok elektronik terbakar dalam pesawat semasa dalam penerbangan.

Malindo Air dalam kenyataan pada Isnin mengesahkan bateri rokok elektronik dalam penerbangan OD1003 terbakar semasa dalam penerbangan dari Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Sabtu lepas.

Menurut syarikat penerbangan itu berdasarkan laporan anak kapal, insiden itu berlaku pada 6.02 petang semasa pesawat berada pada ketinggian 35,000 kaki dan di pertengahan laluan antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.

"Apabila dimaklumkan mengenai insiden itu, anak kapal kabin mengambil tindakan segera kerana mereka dilatih untuk menangani situasi sedemikian.

"Dalam masa beberapa minit, keadaan dapat dikawal dan pesawat meneruskan penerbangan serta mendarat dengan selamat di Kuala Lumpur pada 7.27 malam," kata kenyataan itu.

Anak kapal kabin dan seorang doktor dalam pesawat memberi rawatan kecemasan kepada penumpang yang cedera di tangannya, dan selepas pesawat mendarat, penumpang itu dibawa ke pusat perubatan klia2 untuk rawatan lanjut. 

Syarikat penerbangan itu berkata, polis klia2 dimaklumkan mengenai insiden itu sebelum pesawat mendarat dan bersama-sama kakitangan Keselamatan Penerbangan Malindo Air (AvSec), mereka menemu bual penumpang berkenaan sebelum laporan polis dibuat oleh Malindo Air.

Malindo Air turut mengingatkan para penumpangnya supaya tidak membawa bateri ganti dalam pesawat, tidak menyambung mana-mana peranti elektronik mudah alih dengan sumber kuasa semasa dalam penerbangan dan tidak meninggalkan sebarang peranti elektronik mudah alih tanpa penjagaan.

rokok elektronik, Malindo Air

Artikel Lain