SEPANG: Tiada unsur jenayah dikesan dalam insiden bateri rokok elektronik milik seorang penumpang terbakar semasa penerbangan pesawat Malindo Air pada Sabtu lepas, namun mendapati ia akibat kecuaian penumpang berkenaan. Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali berkata, polis telah menemui mangsa dan memutuskan insiden itu bukan kesalahan jenayah sebaliknya kecuaian penumpang berkenaan. "Sebab itu tiada tindakan diambil ke atas penumpang itu...sebenarnya tiada kaitan dengan bidang kuasa polis," katanya diminta mengulas insiden berkenaan ketika ditemui pada majlis serah terima 10 kereta peronda model Inspira di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini, Isnin. Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang itu, penumpang dan krew penerbangan OD1003 dari Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) cemas selepas bateri rokok elektronik milik penumpang itu yang diletakkan di dalam beg yang diribanya, terbakar secara tiba-tiba.