suria

Pemandu Lori Dipenjara Dua Bulan Ugut Ipar

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah mengugut iparnya awal bulan ini.

Majistret Muhamad Faizal Ismail memerintahkan Lim Kien Hooi, 36, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 3 Okober.

Dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Choong Choy Yin, 40, seorang suri rumah, dengan mengancam "Jika saya masuk ke dalam rumah, saya akan pecahkan kepala suami kamu" dan membawa sebatang rotan ke rumah wanita itu di Jinjang Utara, Sentul, di sini pada pukul 12.55 pagi, 3 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika rayuan, Lim yang tidak diwakili peguam memohon agar dikenakan hukuman ringan atas alasan dia perlu menjaga bapanya yang berusia 70-an.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne. - Bernama
ugut, ipar, pemandu lori

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain