suria

Budak Dua Tahun Didera Teman Lelaki Ibu

Gambar hiasan

KOTA BAHARU: Hanya disebabkan tidak mahu memanggil teman lelaki ibunya dengan panggilan 'abah', seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dipercayai menjadi mangsa dera seorang lelaki berusia 32 tahun.

Ibu kepada kanak-kanak itu mendakwa anaknya tidak merasa selesa dan sering melarikan diri apabila didekati suspek sebelum ini.

"Anak saya melarikan diri apabila didekati, sebab itulah dia (suspek) akan marah dan bersikap baran terhadap anak saya," katanya kepada pemberita ketika menemani anaknya menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini.

Akhbar sebelum ini Rabu melaporkan wanita warga Thailand dan anaknya itu didera dan dikurung selama seminggu di dalam sebuah rumah di Tanjung Chat di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata kedua-dua mangsa dipercayai bukan sahaja dipukul malah kanak-kanak itu turut dicucuh dengan puntung rokok pada badannya.

Wanita itu yang tidak mahu dikenali, berkata sikap panas baran lelaki itu menjadi-jadi sejak seminggu lalu hingga sanggup mencederakan anaknya.

"Jika saya melawan (menghalang), saya pula disepak dan terajang," katanya.

Beliau yang yang berasal dari Selatan Thailand dan menetap di Kota Baharu sejak kecil mula berkenalan dengan lelaki itu sejak tiga tahun lepas.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Mohamad Hanafi Maulud berkata pihaknya sedang memantau perkembangan kanak-kanak tersebut yang kini dirawat di HUSM.

"Buat masa ini kami tempatkan kaunselor secara berkala untuk melihat perkembangan kanak-kanak itu dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata pihaknya turut mengenal pasti latar belakang keluarga kanak-kanak itu untuk tindakan susulan.

Kelantan, Dera

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan