KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz berkata beliau tidak tahu menahu mengenai dakwaan adanya gerakan untuk menyingkirkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata hanya pucuk pimpinan parti yang boleh menentukan siapa yang patut berada dalam parti atau sebaliknya. “Saya mana tahu, kena tanya pucuk pimpinanlah. “Saya akan ikut apa sahaja agenda yang mereka tentukan. Ada mesyuarat kita bincang kemudian,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Rabu. Nazri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Mohd Yunus pada Selasa yang mengesahkan wujud gerakan menyingkirkan Muhyiddin dan kelompok gunting dalam lipatan dalam Umno. Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, beliau menganggap apa yang dikatakan Jamal sebagai pandangan peribadi. “Itu pandangan dialah..dia pun bukan orang yang penting sangat,” katanya. Ditanya sama ada gerakan itu dibuat sebagai langkah untuk menutup mulut Muhyiddin daripada terus lantang mengkritik beberapa isu dalam negara termasuklah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau menjawab ringkas: “Ini negara bebas…” Pada Selasa, Jamal dilaporkan menegaskan bahawa lebih 100 ketua Umno bahagian di seluruh negara mengadakan perbincangan tertutup sebagai usaha menyingkir Muhyiddin dan kumpulannya dari parti itu. Beliau berpandangan Najib terlalu bersikap berlemah-lembut sedangkan Muhyiddin perlu dipecat. “Kalau saya di tempat Perdana Menteri dah lama saya pecat beliau (Muhyiddin) bukan setakat sebagai Timbalan Presiden Umno malah ahli Umno,” katanya. Pada sidang media sama, Nazri turut mengesahkan bahawa bangunan Vivekananda Ashram di Brickfields akan diisytiharkan sebagai bangunan warisan dalam masa terdekat. Katanya, keputusan itu dibuat setelah menilai beberapa aspek seperti kepentingan sejarah, sumbangannya kepada pembangunan Tanah Melayu, ciri reka bentuk dan hubungan sosial dan kebudayaan. Jelasnya, keputusan yang dibuat itu adalah muktamad, sekali gus menolak rayuan sebelum ini yang meminta supaya kementerian membatalkan ketetapan menjadikan bangunan tersebut sebagai tapak warisan.