suria

Warga Emas Rentung Dalam Kebakaran

KOTA KINABALU: Seorang warga emas rentung selepas rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang didudukinya di Kampung Kuranji, Kota Marudu, kira-kira 131 kilometer dari sini, musnah dalam kebakaran malam Khamis.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K. Ramin dalam kenyataannya pada Jumaat, berkata mayat mangsa dikenali Abdul Wakil Abdul Salam, 68, ditemukan rentung di dalam sebuah rumah daripada tiga rumah PPRT yang terlibat dalam kebakaran itu.

Katanya pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 10.44 malam dan  sebuah jentera dengan 11 anggota dari Balai Bomba Kota Marudu tiba di lokasi pada 11.07 malam. Api berjaya dikawal kira-kira tiga minit kemudian.

Menurut Mohd Affendy, ketika pasukan bomba tiba di lokasi, dua daripada tiga buah rumah PPRT berkenaan telah terbakar sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar 60 peratus.

Api berjaya dipadamkan sepenunya pada 12.48 pagi.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, pejabat pentadbiran Pelabuhan Kota Kinabalu yang terletak di tingkat 3, Wisma Pelabuhan, hangus dalam kebakaran kira-kira 6.28 pagi ini.

Anggota Balai Bomba Kota Kinabalu yang tiba di lokasi pada kira-kira 6.30 pagi berjaya memadamkan kebakaran berkenaan sepenuhnya sejam kemudian, katanya.

Kota Kinabalu, Kebakaran, Rentung

Artikel Berikut

Artikel Lain