suria

Pelajar 17 Tahun Antara Ditahan Terbabit Penyalahgunaan Dadah

Beberapa remaja yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah ditahan oleh anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik pada Operasi Bersepadu sekitar Cheras pada Sabtu. Foto: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan lima antara 28 ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah dalam satu Operasi Bersepadu Narkotik Kontinjen Polis Kuala Lumpur di kawasan perumahan sekitar Cheras pagi Sabtu.

Pegawai Turus Risikan/Operasi/Tahanan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, DSP Mohd Faizal Yahya berkata remaja berusia 17 tahun itu ditahan di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ulu Pudu, pukul 7.30 pagi ini.   

"Hasil ujian saringan air kencing itu mendapati dia positif dadah jenis heroin dan pelajar itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada pemberita.   

Mohd Faizal berkata Seramai 35 orang telah diperiksa dalam operasi selama enam jam bermula pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Mereka yang ditahan itu berumur antara 17 hingga 59 tahun dan positif dadah jenis heroin," katanya.

Pelajar 17 Tahun, Dadah

Artikel Lain