suria

Berita Mandarin RTM Kembali Kepada Format Asal

PETALING JAYA: Berita Mandarin di RTM telah kembali normal seperti sediakala selepas tidak menggunakan rakaman video dan sari kata berbahasa Cina di skrin selama beberapa hari.

Media Cina melaporkan bahawa berita Mandarin RTM di saluran TV2 bersiaran langsung tanpa visual latar belakang pada 29 dan 30 Oktober.

Pembaca berita dilihat membaca berita tanpa henti selama 20 minit bagi slot berita pada pukul 2 petang dan 8 malam tanpa sebarang visual sokongan.

Standard program di skrin menggunakan sari kata bahasa Cina turut ditukarkan kepada bahasa Melayu.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kemudiannya meminta bantuan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak supaya program berkenaan dikembalikan kepada format asal.

Visual sokongan kembali dipaparkan ke dalam program tersebut pada malam Jumaat, tetapi masih lagi ke udara tanpa sari kata dalam bahasa Cina.

Ia kembali kepada format yang asal pada tengah hari Ahad selepas Salleh Said memberikan kebenaran pada Sabtu.

Dr Wee menerusi 'posting' di Facebooknya berterima kasih kepada Salleh Said kerana menangani isu berkenaan dengan segera.

"Kami ingin menegaskan bahawa mereka yang membuat kesilapan itu merupakan mereka yang sepatutnya dihukum, dan bukannya ke atas keseluruhan program tersebut," katanya tanpa merujuk kepada sebarang insiden secara khusus.

Dipercayai ia merupakan pertama kali TV2 berhadapan dengan situasi berkenaan.

Stesen penyiaran itu dipercayai menyiarkan gambar yang tidak bersesuaian melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Sumber memberitahu Sin Chew Daily bahawa sekatan itu dibuat berikutan penggunaan gambar yang menunjukkan keadaan Najib dalam keadaan kecewa, disertakan beberapa gambar berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai latar belakang berita, Selasa lalu.

Ketua berita Mandarin RTM, Tan Lee Won enggan mengesahkan sama ada sekatan itu berpunca daripada insiden tersebut.

berita mandarin, TV2, Wee Ka Siong

Artikel Lain