suria

Cari Mekanisme Baharu Selepas Subsidi Beras ST15 Dimansuhkan

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
BERA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mencari mekanisme baharu bagi membantu golongan kurang berkemampuan untuk membeli beras selepas pemansuhan program subsidi beras Super Tempatan (ST15), mulai tahun depan.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata antara mekanisme yang boleh dipertimbangkan adalah menilai modul di negara lain, seperti Thailand yang mana rakyatnya tidak makan beras tinggi kandungan hancur, sebaliknya menggunakan beras tempatan mereka.

"Program beras subsidi in diperkenalkan pada tahun 2008 apabila difikirkan bagaimana mahu sediakan beras pada harga yang murah. Bagaimanapun, ada kelemahan dari segi pelaksanaan dan kita tidak mahu beras yang dikeluarkan kepada rakyat Malaysia akhirnya sampai ke pihak tidak sepatutnya.

"Kita juga memikirkan adakah selama-lamanya rakyat miskin di negara kita akan makan beras hancur?," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasaraya Agro pertama di Malaysia di Bera di sini, Ahad.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga anggota Parlimen Bera dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas Pahang Datuk Norol Azali Sulaiman.

Ahmad Shabery juga memaklumkan antara mekanisme lain yang boleh dipertimbangkan ialah dengan memberi wang bersamaan jumlah subsidi bagi sekampit beras, iaitu RM7.50 kepada golongan sasar supaya mereka dapat menggunakannya untuk membeli beras yang lebih baik.

Kementeriannya juga akan berbincang dengan Kementerian Kewangan dan kementerian kendalian Ismail Sabri yang 'menjaga' golongan penoreh getah dan pekebun kecil yang merupakan golongan sasar program subsidi itu, katanya.

Beliau memaklumkan kerajaan membelanjakan RM530 juta setahun bagi program beras ST15, namun pemerhatian mendapati beras itu banyak dibeli oleh warga asing dan restoran.

"Sesuatu program yang dilaksanakan mesti mempunyai data dengan integriti tertentu dan data tentang pengedaran beras ini tidak menyeluruh dan sempurna. Ia hanya di peringkat pengilang dan pemborong, tetapi siapa yang membeli dan di mana kedainya... ini yang perlu kita lihat sendiri," katanya.

Semalam, Setiusaha Bahagian Industri Padi dan Beras MOA, Samsuddin Ismail dalam satu kenyataan memaklumkan pemansuhan program subsidi beras ST15 ekoran terdapat banyak masalah ketirisan berkaitannya.

Beras ST15 adalah beras tempatan yang mempunyai kandungan 15 peratus beras hancur yang kualitinya sedikit rendah berbanding beras tempatan biasa ST5 dibeli oleh majoriti pengguna dengan kandungan lima peratus beras hancur.

Artikel Lain