suria

Pembangkang Tak Pernah Konsisten - PM

Datuk Seri Najib Tun Razak
KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pihak pembangkang tidak pernah konsisten dalam pendirian dan perjuangan mereka selain sering menabur fitnah dan tuduhan tidak berasas kepada kerajaan.

Najib berkata sikap tidak konsisten itu jelas terbukti apabila pembangkang sebelum ini yang tidak bersetuju dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), akhirnya, seperti mengiktiraf pelaksanaan sistem percukaian baharu negara itu dengan menyenaraikannya dalam intipati Bajet Alternatif mereka.

"Pembangkang tidak pernah konsisten. Selama ini (mereka) mengutuk GST, tetapi dalam Bajet Alternatif menyentuh GST. Dia main politik (kadar GST) tiga peratus, tetapi dalam online dia kata sifar peratus, tak masuk akal," katanya ketika berucap merasmikan persidangan tritahunan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di sini, Ahad.

Mengulas lanjut, Najib turut mempersoalkan pembangkang yang mahu mengenakan sifar peratus GST tetapi mengapa perlu memperkenal GST dalam intipati bajet mereka.

"Kenapa anda ada GST namun letak sifar peratus. Rakyat kena fikir, ini permainan politik," katanya.

Selain itu, kata Najib, pembangkang juga berbohong apabila menuduh Barisan Nasional (BN) membawa masuk kira-kira 40,000 pengundi dari Bangladesh pada pilihan raya umum lalu yang sehingga ke hari ini gagal dibuktikan parti pembangkang.

Katanya tuduhan kononnya beliau akan berunding dengan pihak tentera untuk merampas kuasa sekiranya BN kalah dalam pilihan raya umum ke-13 lalu juga terbukti fitnah apabila pemimpin parti pembangkang berkenaan memohon maaf secara terbuka kepadanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain