KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk mengadakan kajian bagi melihat bagaimana wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dibelanjakan oleh penerima buat masa ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu, Isnin. Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata kerajaan percaya golongan sasar, terutamanya isi rumah berpendapatan rendah (B40) membelanjakan wang itu untuk tujuan sepatutnya seperti membeli barangan keperluan asas. "Pada masa ini, ia terpulang pada pilihan penerima (bagaimana untuk membelanjakan BR1M), dan kita yakin penerima dari golongan B40, kebanyakan mereka perlukan wang ini untuk membeli barang keperluan asas," katanya menjawab soalan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) di sini. Shabudin ingin tahu langkah kerajaan bagi memastikan matlamat bantuan BR1M tercapai, iaitu meringankan beban rakyat, terutamanya B40, untuk membelanjakan wang tersebut ke arah yang sepatutnya, dan bukan untuk tujuan lain. Chua berkata kerajaan juga tiada rancangan menukar BR1M dalam bentuk baucar atau subsidi kerana dikhuatiri akan menimbulkan isu-isu lain seperti pasaran gelap (black economy). Menjawab soalan tambahan Shabudin mengenai usaha mengurangkan pergantungan rakyat terutamanya golongan B40 terhadap BR1M pada masa akan datang, Chua berkata kerajaan telah melaksanakan beberapa program untuk meningkatkan kemahiran dan taraf hidup rakyat bagi membolehkan mereka menikmati pendapatan yang lebih tinggi. "Dari segi tingkatkan pendapatan golongan B40, dalam Bajet 2016 dan Rancangan Malaysia Ke-11, jelas menunjukkan kerajaan ingin menumpukan bagaimana untuk meningkatkan daya kemahiran rakyat melalui program seperti latihan vokasional dan Skim Latihan 1Malaysia, serta kenaikan gaji minimum. "Ini adalah antara usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan Pekali Gini (Gini Coefficient)," katanya. Beliau berkata, selain BR1M, kerajaan turut menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat terutamanya golongan B40 seperti Bantuan Persekolahan, Baucar Buku 1Malaysia, kemudahan Klinik dan Kedai Rakyat 1Malaysia, serta menaikkan had pelepasan cukai bagi kumpulan isi rumah berpendapatan sederhana (M40). Chua berkata, sejak BR1M diperkenalkan pada tahun 2012, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM14 bilion yang memanfaatkan keseluruhan hampir 7.4 juta penerima setiap tahun. Menjawab soalan tambahan Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) sama ada kerajaan akan menaikkan lagi kadar gaji minimum atau tidak, Chua berkata beberapa faktor harus diambil kira bagi menentukan kesesuaiannya. Beliau berkata, jika kadar gaji minimum dinaikkan, dikhuatiri ia akan mengganggu perkembangan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kerana ia menggaji hampir 52 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja di negara ini.