suria

CPI Akan Diwujudkan Pantau Persepsi Masyarakat Terhadap Tahap Keselamatan

Ahmad Zahid bersama Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim (kanan) pada majlis Persidangan Meja Bulat Terhadap Pencegahan Jenayah: Ke arah Malaysia Yang Lebih Selamat di Pusat Konvensyen Sime Darby pada Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Petunjuk Persepsi Jenayah (CPI) akan diwujudkan bagi membantu pencegahan jenayah dan meningkatkan persepsi masyarakat terhadap tahap keselamatan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata usaha ini bagi memastikan statistik penurunan kadar jenayah yang dikeluarkan tidak dipertikaikan.

"Kalau selama ini polis yang keluarkan statistik dianggap masuk bakul angkat sendiri, tetapi kalau PEMANDU, badan bukan kerajaan, termasuk MCPF mengatakannya berdasarkan kajian yang dilakukan mungkin itu lebih baik.

"PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan) memperlihatkan usaha dan komitmen untuk membantu supaya ada pihak ketiga suarakan pencapaian sebenar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan majlis Persidangan Meja Bulat Terhadap Pencegahan Jenayah: Ke arah Malaysia Yang Lebih Selamat, di sini Selasa.

Antara turut hadir Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye dan Presiden Persatuan Pegawai Kanan Polis Pencen Malaysia (Respa) Datuk Mohd Ismail Che Rus.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata walaupun statistik menunjukkan penurunan kadar jenayah sebanyak 40 peratus sejak empat tahun lepas namun persepsi masyarakat terhadap tahap keselamatan tidak pernah meningkat sebaliknya terus menimbulkan ketidakpuasan hati tehadap pencapaian Polis Diraja Malaysia.

"Sejak empat tahun lepas kadar jenayah menurun sebanyak 40 peratus dan buat pertama kali kes curi kenderaan menurun 20 peratus tahun lepas," katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau berkata empat komponen utama akan menjadi pengukur iaitu 'signals', 'my space', 'amplifier' dan 'police services'.

"Empat faktor ini berserta dengan jenayah itu sendiri membawa kepada bimbang akan jenayah... saya percaya dengan menumpukan dan menangani empat komponen ini, persepsi orang awam akan bertambah baik," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata dalam pihak polis menguatkuasakan undang-undang, ia harus dilakukan berdasarkan prinsip 'buta warna'.

Pada majlis itu, satu MoU ditandatangani antara MCPF dan RESPA oleh Lee Lam Thye dan Mohd Ismail disaksikan Ahmad Zahid.

MoU itu antaranya bagi membolehkan MCPF dan RESPA bekerjasama rapat untuk membuat aktiviti/program dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai berkaitan isu pencegahan jenayah. - BERNAMA

CPI, Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Berikut

Artikel Lain