suria

Amnesty International Gesa Singapura Beri Pengampunan Kepada Jabing

PETALING JAYA: Amnesty International menggesa kerajaan Singapura untuk memberikan pengampunan kepada Kho Jabing selepas dia diberi penangguhan hukuman mati saat akhir pada Khamis.

Pemuda berusia 31 tahun dari Sarawak itu berjaya mendapat penangguhan hukuman tersebut selepas peguamnya memfailkan usul pada saat akhir, Rabu lalu.

"Penangguhan hukuman tersebut tidak dinafikan membawa satu kelegaan kepada Kho Kabing dan ahli keluarganya, tetapi ia baharulah langkah pertama.

"Hakim membuat keputusan hukuman mati walaupun mereka tidak pasti mengenai kes tersebut dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong perlu mengikuti perkembangan penangguhan hukuman ini dengan memberikan pengampunan serta-merta sebelum terlambat," kata Pengarah Kempen Amnesty Internationl bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Josef Benedict.

Jabing dan rakan sejenayah, Galing Kujat didapati bersalah membunuh pada 2010 dan mereka dihukum mati.

Pada 2011, Kujat terselamat daripada hukuman gantung selepas sabitan atas pertuduhan membunuh dipinda kepada sabitan rompakan menyebabkan kecederaan.

Dia dijatuhi hukuman penjara 18.5 tahun dan 19 sebatan manakala rayuan Jabing ditolak.

Kesnya bagaimanapun dihantar ke Mahkamah Tinggi Singapura pada 2013 untuk dijatuhkan hukuman semula selepas negara tersebut mengkaji semula undang-undang hukuman mati mandatorinya pada 2012.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman semula ke atas Jabing, iaitu penjara seumur hidup dan 24 sebatan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan menggesa Mahkamah Rayuan membatalkan hukuman yang diputuskan oleh hakim itu dan mengenakan semula hukuman mati ke atas Jabing atas alasan serangannya terhadap mangsa amat ganas.

Pada Januari tahun ini, panel lima hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan  3-2, mensabitkan Jabing bersalah dan menghantar semula pemuda itu ke tali gantung.

Rayuan Jabing untuk pengampunan ditolak bulan lepas oleh Presiden Singapura Tony Tan Keng Yam.

Mahkamah masih belum menetapkan tarikh untuk mendengar kes Jabing, menurut stesen televisyen tempatan itu.

Menurut Amnesty International, dalam tempoh lima tahun lalu, kerajaan Singapura mengumumkan tujuh hukuman mati.

Pada 2012 satu moratorium rasmi mengenai hukuman mati ditubuhkan untuk mengkaji semula mandatori undang-undang hukuman mati di negara ini.

Berikutan penerimaan pindaan undang-undang itu pada November 2012, mahkamah Singapura mempunyai budi bicara untuk tidak mengenakan hukuman mati dalam keadaan tertentu.

Sekurang-kurangnya 13 pesalah yang menjalani hukuman mati, diringankan hukuman oleh mahkamah selepas kes tersebut dikaji semula selaras dengan pindaan undang-undang tersebut.

Artikel Sebelum

Lapan Anggota Geng Samun Ditahan

Artikel Berikut

Artikel Lain