suria

Kes Denggi Di KL Meningkat - DBKL

KUALA LUMPUR: Jumlah kematian disebabkan demam tinggi di ibu negara meningkat dua kali ganda, atau 113 peratus, sepanjang tahun ini iaitu 32 kes berbanding 15 kes tahun lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Dr Hayati Abdullah berkata sementara kes demam denggi pula meningkat  18.14 peratus bagi tempoh sama, iaitu 6,726 kes berbanding 5,693 kes tahun lepas.

Antara faktor tersebut kerana sikap masyarakat kota yang tidak prihatin mengenai kebersihan, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Anti Denggi DBKL Bersama Shell 2015, di sini, Jumaat.

Melalui program ini, stesen minyak Shell akan menjadi pusat edaran risalah demam denggi dan ubat jentik-jentik ABATE secara percuma, selain menyertai aktiviti gotong-royong anjuran DBKL.

Selain itu, stesen minyak Shell juga akan menjadi pusat jualan produk inovasi Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL iaitu 'Mosquito Larvae Trap Device' (MLTD), kaedah baharu kawalan pembiakan nyamuk aedes.

Dr Hayati berkata tabiat suka membuang sampah merata-rata serta wujudnya takungan air dan musim hujan pada masa ini adalah antara punca menyebabkan nyamuk aedes membiak dengan lebih cepat.

Walau bagaimanapun, faktor terbesar yang membawa kepada peningkatan ini adalah kurangnya kesedaran masyarakat tentang bahaya wabak ini dengan tidak mengambil berat untuk memelihara kebersihan persekitaran.

nyamuk, denggi, KL

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain