suria

Bonus Setengah Bulan Gaji Untuk Kakitangan Kerajaan Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan bonus setengah bulan gaji atau minimum RM700 untuk anggota perkhidmatan awam negeri.

Ketua Menteri Lim Guan Eng ketika membentangkan Bajet 2016 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri di sini, berkata bayaran bonus itu akan dibuat pada Disember ini.

"Kerajaan negeri amat prihatin kepada keperluan perbelanjaan tambahan pada akhir tahun, lebih-lebih lagi dengan kenaikan kos sara hidup masa kini dan berharap pemberian bonus ini dapat sedikit sebanyak meringankan bebanan anggota perkhidmatan awam negeri," katanya.

Beliau berkata pemberian bonus dengan kadar RM300 seorang akan turut diberi kepada penyelia dan guru Kafa, guru sekolah agama rakyat, guru sekolah menengah agama rakyat dan guru serta staf sekolah persendirian Cina.

Guru tahfiz, guru pondok dan guru tadika Islam negeri Pulau Pinang pula akan menerima bonus RM200 seorang, katanya.

"Pemberian bonus pada Disember 2015 dijangka menelan belanja sebanyak RM5.22 juta," katanya.

Selain bonus, kerajaan negeri turut mengumumkan pengecualian cukai pintu untuk tahun 2016 kepada penghuni rumah kos rendah dan kos sederhana rendah di negeri ini.-- Bernama


bonus, Pulau Pinang, Lim Guan Eng

Artikel Sebelum

Artikel Lain