suria

Pemandu Tekankan Kepentingan BI Menerusi Video

PETALING JAYA: Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) mengeluarkan tiga video yang menekankan kepentingan bahasa Inggeris dan negeri yang mencatatkan penguasaan lemah di kalangan para pelajar dalam bahasa tersebut.

Video tersebut menunjukkan pelajar, guru dan ibu bapa menggesa agar bahasa tersebut diberi keutamaan di sekolah.

Menekankan keperluan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, guru besar SK Bukit Beruntung, Nor Azian Abd Manan berkata semua rakyat Malaysia harus menyedari kepentingan bahasa Inggeris.

"Apabila kita memikirkan mengenai negara kita, masa depan negara, masa depan pelajar kita, saya rasa amat sedih melihat kebanyakan pelajar, apabila mereka tamat sekolah, mereka tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris," katanya.

Bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi di 67 buah negara dan sembilan daripada 10 negara Asia Tenggara telah menggunakan pakai bahasa tersebut sebagai bahasa kedua mereka.

Pemandu menegaskan bahawa bahasa tidak menjejaskan mana-mana bahasa kebangsaan tetapi berperanan melengkapkan dan meningkatkan keupayaan seseorang.

"Bahasa Inggeris adalah satu cara untuk membantu meningkatkan wawasan, bukan hanya mengenai perkara yang saya sedang kaji tetapi turut membantu saya mengaitkan subjek lain dengan cara yang saya tidak mungkin pernah terfikir," kata pelajar SMK Seri Kembangan, Chai Lit Jien.

Beberapa pelajar yang ditemu bual dalam video tersebut berkata mereka gementar pada mulanya untuk menggunakan bahasa tersebut.

Manakala beberapa pelajar lain mengakui bahasa Inggeris boleh membantu seseorang melanjutkan pengajian di luar negara.

"Jika anda inginkan anak anda melakukan perkara besar, beri mereka peralatan yang betul. Beri mereka bahasa yang betul. Jadi mereka boleh mendapatkan maklumat dan mencari ilmu dengan lebih mudah," kata ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Seri Kebangsaan, Margaret Wong.

Pada bulan lalu, Pemandu melakukan kajian secara dalam talian mengenai kepentingan penguasaan bahasa Inggeris.

Pemandu, Bahasa Inggeris

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain