KUALA LUMPUR: Peguam kanan dan bekas pegawai khas Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang menyatakan rasa tidak puas hati dari kandang tertuduh dengan menegaskan beliau tidak boleh tinggal di dalam penjara kerana berkongsi sel tahanan bersama dengan orang kelainan upaya (OKU), penghidap HIV dan tibi. "Ia tidak adil untuk saya terus menunggu selama dua minggu lagi. Saya berada satu sel bersama tahanan yang lumpuh dan saya perlu membawa dia ke tandas dan membersihkan najisnya. "Seorang lagi tahanan lain turut menghidap HIV dan batuk kering. Adakah anda mahu saya terdedah (kepada penyakit tersebut)," kata Chang dari kandang tertuduh selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya supaya dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu sebutan semula kes itu pada 18 November ini. Chang, 65, dan anak guamannya, bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, 53, didakwa cuba mensabatoj sistem kewangan dan perbankan negara di beberapa lokasi di luar negara. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lima lokasi dari 28 Jun hingga 26 Ogos lalu. Keputusan sama ada penahanan mereka itu boleh dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) atau tidak akan diumumkan Mahkamah Tinggi pada 18 November ini. Hakim Datuk Mohd Azman yang mendengar rasa tidak puas hati itu berkata beliau memahami keadaannya tetapi Chang masih tidak dibenarkan untuk ikat jamin. Ahli keluarga Chang dan Khairuddin turut menyatakan rasa tidak puas hati dari galeri awam. Pada ketika itu, anggota polis mahkamah dengan serta-merta menghampiri dan menenangkan mereka. Isteri Khairuddin yang juga pelakon Datin Seri Umi Aida turut hadir. Terdahulu, peguam bela Mohammed Haniff Khatri Abdulla memohon untuk mengemukakan ikat jamin sementara tetapi Timbalan Pendakwa Raya Mohd Masri Daud menolak permohonan itu. Haniff dalam hujahnya berkata anak guamnya sudah berada di dalam penjara selama enam minggu dan apa yang boleh dilakukan mahkamah adalah memberikan jaminan sementara kepada mereka. Chang dan Khairuddin didakwa di Mahkamah Majistret. Pada 23 Oktober lalu, Majistret Siti Radzeah Kamarudin memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi selepas Mohd Masri membenarkan permohonan itu. Mereka didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan (Akta 547) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun. Pada 19 Oktober lepas Mahkamah Tinggi merujuk kes Khairuddin dan Chang ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada pertuduhan yang mereka hadapi boleh dibicarakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Akta 2012 (SOSMA).