suria

Jualan Tiket Di TBS-BTS Merosot - Pembawa

PETALING JAYA:  Memasuki hari kelima beroperasi di Terminal Bandar Tasik Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan (BTS), pengusaha bas mendakwa penjualan tiket merosot hampir 35 peratus sehari berbanding sebelum berpindah dari Pudu Sentral di ibu negara.

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia (Pembawa), Tajuddin Mohd Yunus berkata, kemerosotan tersebut ketara, selain dirasai semua pengusaha bas yang baharu sahaja berpindah sejak Ahad lalu.

Katanya, semasa beroperasi di Pudu Sentral, rata-rata pengusaha bas boleh memperoleh sekitar RM3,000 sehari.

"Sejak beroperasi di TBS-BTS, kami memperoleh kira-kira RM2,000 sehari, jadi berlaku kemerosotan yang ketara. Bayangkanlah kerugian yang perlu ditanggung dalam tempoh sebulan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Tajuddin berkata, walaupun keadaan persekitaran di TBS-BTS lebih selesa dan selamat, faktor lokasinya yang bukan berada di tengah bandar, menyebabkan ia tidak menjadi pilihan lebih praktikal kepada pengguna.

"Seperti sedia maklum, TBS-BTS ini terletak agak jauh dari pusat bandar. Jadi saya rasa pengguna yang ingin ke Pantai Timur terutamanya ke Pahang dan Terengganu akan memilih untuk menaiki bas di hentian bas Pekeliling. Ia jauh lebih mudah, dekat dan praktikal," katanya.

Menurut Tajuddin, Hentian Pekeliling yang masih beroperasi sehingga hari ini sedikit sebanyak menjejaskan penjualan tiket di TBS-BTS.

"Mengapa tidak tutup perkhidmatan di Hentian Pekeliling? Mengapa pengusaha bas di Pudu Sentral sahaja yang terlibat? Ini tidak adil dan bukan satu persaingan sihat," katanya.

Perkhidmatan bas ekspres koridor utara yang beroperasi di Pudu Sentral berpindah ke TBS-BTS berkuatkuasa Ahad lalu.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan prihatin dengan nasib pengusaha bas, operasi perkhidmatan bas ekspres jarak jauh perlu diseragamkan secara berpusat di TBS-BTS.

"Selepas kami diarahkan berpindah ke TBS-BTS, operasi bas ekspres di Hentian Pekeliling juga wajar ditamatkan. Ini supaya berlaku adil demi kepentingan bersama semua pengusaha bas yang berdepan pelbagai kenaikan kos," katanya.

Pada masa sama, beliau merayu kepada kerajaan supaya memberi kata putus mengenai cadangan kenaikan kadar tambang bas ekspres sebanyak 20 peratus yang diusulkan sebelum ini.

"Tolonglah beri kata putus dengan segera. Ini soal hidup dan mati kami. Bantulah kami kerana kos operasi semakin meningkat. Lagipun tambang bas ekspres dinaikkan sebanyak 30 peratus kali terakhir pada 2008," katanya.

Tajuddin turut mengakui beliau terpaksa menjual enam buah bas ekspres miliknya untuk menampung kos operasi yang semakin meningkat, lebih-lebih lagi selepas kenaikan tol baru-baru ini.

"Jika dulu saya ada 28 bas, sekarang 22 bas. Saya terpaksa jual bas kerana ia jalan terakhir untuk mengelak syarikat jatuh muflis. Saya difahamkan ada kalangan pengusaha bas yang tidak dapat membayar gaji pekerja. Namun mereka tidak uar-uarkan kerana malu, ia soal maruah," katanya.

Malah, beliau berharap agar mendapat maklum balas positif daripada kerajaan berhubung cadangan tersebut kerana kadar tambang teksi, perkhidmatan Transit Aliran Ringan dan  Keretapi Tanah Melayu Berhad sudah dinaikkan.

"Kadar tambang bas ekspres sepatutnya dinaikkan pada Mei lalu tetapi diarahkan tangguh oleh kerajaan. Namun memandangkan tambang teksi, LRT dan KTMB sudah dinaikkan, sudah tiba kerajaan mempertimbangkan cadangan kami ini. Tolonglah tamatkan teka-teki ini." katanya.

Terdahulu, Tajuddin mewakili Pembawa mengemukakan surat yang ditujukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berhubung cadangan tersebut pada 29 Oktober lalu.

Sehingga hari ini, tiada sebarang maklum balas berhubung perkara itu.




bas ekspres, TBS-BTS, Pembawa

Artikel Berikut

Artikel Lain