suria

MIC Kaji Semula Perlembagaan Parti, Jadikan Lebih Demokratik

SERDANG: MIC akan mengkaji semula perlembagaannya  dalam usaha mentransformasikannya sebagai parti yang lebih demokratik, kata Presidennya, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Pada masa sama, parti itu juga akan menerapkan nilai demokrasi yang lebih luas untuk ahli akar umbi bersuara.

"Untuk itu, beberapa perubahan akan dilakukan termasuk penilaian semula serta pembaharuan terhadap perlembagaan parti," katanya dalam ucapan dasarnya pada perasmian Perhimpunan Agung MIC ke-67 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, Jumaat.

"Ia akan membolehkan penglibatan lebih ramai masyarakat India dalam aktiviti parti,"katanya.

Perhimpunan Agung MIC itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Subramaniam juga berkata MIC akan menyediakan peluang mencukupi untuk membenarkan anggotanya di semua peringkat yang tidak mengambil bahagian dalam pemilihan semula parti itu, menyertai dan bergiat semula dalam aktiviti MIC.

Beliau berkata parti itu juga bercadang menubuhkan Majlis Konsultasi India Malaysia yang akan menjadi medium antara parti dan komuniti.

"MIC (juga) berniat untuk mengadakan satu platform untuk membolehkan dialog terbuka dengan parti politik lain untuk mencari pendirian yang sepakat dan bermuafakat," katanya.

Dr Subramaniam juga berkata beliau akan berbincang dengan Najib mengenai  jawatan menteri penuh dalam kabinet kerana pada masa ini hanya beliau seorang yang merupakan menteri tunggal dari MIC.

Seorang lagi pemimpin MIC yang dilantik sebagai menteri ialah Datuk Seri G Palanivel sebelum beliau digugurkan daripada barisan kabinet pada 28 Julai lepas berikutan rombakan kabinet.

Palanivel pada masa itu memegang jawatan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Sementara itu, semasa bercakap kepada pemberita, Dr Subramaniam berkata parti itu bersedia memastikan ia kekal relevan dengan terus berusaha mempertingkat serta memperkasakan tahap sosio-ekonomi masyarakat India di negara ini.

Selain itu, MIC juga bersedia menghadapi serta mengatasi segala cabaran politik dan pendidikan yang dihadapi masyarakat itu, katanya.

Dr Subramian berkata pemilihan semula barisan baharu dalam pucuk pimpinan parti itu akan membantu dalam mentransformasikan parti berkenaan.

"Pada saya dan parti, perkataan itu ada makna yang mendalam... kita akan bawa transformasi bukan sahaja kepada parti tetapi masyarakat juga. Masa depan parti ini bergantung kepada hubungannya dengan masyarakat dan kita akan memastikan ahli MIC mengeratkan hubungan," katanya.

Menyentuh mengenai dakwaan bahawa wujudnya sistem kasta dalam parti itu, Dr Subramaniam menafikannya kerana ia sama sekali bertentangan dengan pegangannya sebagai presiden parti.

"Saya nampak dalam landasan politik ini, sesiapa yang memberi tumpuan  kepada kasta sebagai langkah untuk menang, mereka semua tidak berjaya. Itu bermaksud perwakilan MIC adalah matang," katanya.

MIC

Artikel Lain