KUALA TERENGGANU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi amaran kepada Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) agar tidak bersekongkol dengan pihak pembangkang yang cuba menjatuhkan kerajaan melalui undi tidak menyokong Bajet 2016. Undi meluluskan Bajet 2016 akan diadakan pada persidangan Dewan Rakyat yang berakhir 3 Disember ini. Katanya beliau tahu siapa Anggota Parlimen BN yang terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan dan perdana menteri kerana ia telahpun berjalan sejak tiga ke empat bulan yang lalu. "Saya tahu Anggota Parlimen BN yang telahpun dipujuk pembangkang dan ada juga yang mengugut kerajaan...saya akan perhati satu-satu undi mana-mana Anggota Parlimen (134 Anggota BN) yang menolak Bajet 2016," katanya. Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Konvensyen Umno Terengganu 2015 di Hotel Primula Beach Resort di sini, Jumaat malam. Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, yang juga Menteri Besar Terengganu. Beliau berkata konspirasi itu turut menggunakan isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB), dana RM2.6 bilion dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk menjatuhkan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Katanya kerajaan yang memerintah hari ini adalah kerajaan yang dipilih secara demokrasi dan ahli Umno perlu mempertahankan ia dengan apa cara sekalipun demi kepentingan rakyat dan negara. Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden Umno, berkata parti itu tidak pernah sunyi daripada berhadapan kemelut dan krisis sejak awal penubuhannya 69 tahun lalu termasuk ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. Katanya dalam Umno pertukaran pucuk pimpinan itu adalah perkara biasa dan bukan sesuatu yang baharu dalam politik parti yang menjadi tunjang BN itu. "Kita diajar untuk taat kepada pemimpin yang dipilih oleh rakyat dan sokong pemimpin yang baharu, bukan cara Umno tikam dari belakang...setiap krisis kita perlu atasi bersama, bukan ketika senang sahaja kita bersama, semasa susah juga kita perlu bersama," katanya. Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta semua ahli supaya sentiasa menyokong kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ahmad Razif bagi mencapai kemenangan besar pada Pilihan raya Umum ke-14. Menurutnya dalam senario politik Terengganu, BN dilihat mempunyai peluang untuk kembali meraih lebih banyak kerusi yang ketika ini hanya memenangi 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Antara yang hadir pada majlis itu Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan. Konvensyen Umno Terengganu kali ini dihadiri 848 perwakilan daripada lapan bahagian dan 153 jemputan khas dari veteran Umno, ahli Persatuan Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) serta wakil anak muda Permata. - BERNAMA