suria

Ahli Parlimen Tanjong Didakwa Menghasut

Ng Wei Aik didakwa mengikut Akta Hasutan di Mahkamah Sesyen George Town, Jumaat.

GEORGE TOWN: Anggota Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat atas pertuduhan menerbitkan penerbitan yang menghasut dalam satu artikel berbahasa Mandarin bertajuk "Reformasi Bermula Lagi" Februari lepas.

Wei Aik mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ibrahim Osman.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Kwong Wah Yit Poh Press Bhd, di Lebuh Presgrave, di antara pukul 2.20 petang hingga 2.30 petang, 10 Februari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Ng memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya merupakan seorang anggota Parlimen dan tidak berisiko untuk melarikan diri.

Hakim Ibrahim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

-- Bernama

Ng Weik Aik, Akta Hasutan

Artikel Berikut

Artikel Lain