suria

Tempoh Reman Empat Sekeluarga Dilanjutkan Hingga Khamis Depan

Tempoh reman empat sekeluarga dilanjutkan sehingga Khamis depan.

TAPAH: Empat sekeluarga yang dipercayai terbabit dalam beberapa pembunuhan di sini direman selama tujuh hari lagi oleh Mahkamah Majistret di sini untuk membantu siasatan dalam kes pembunuhan kedua.

Jurucakap polis berkata suspek akan direman sehingga Khamis minggu depan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan peniaga alat ganti Ng Chor Kee yang hilang sejak Jun lalu.

Kesemua suspek pada mulanya direman selama 11 hari berikutan dipercayai terbabit dengan kehilangan broker tanah, Jasbeer Singh yang hilang pada Ogos lalu.

Polis menahan sepasang suami isteri dan dua anak lelaki mereka dipercayai terbabit dalam kes bunuh melibatkan sekurang-kurangnya empat individu di sekitar daerah Tapah, dekat sini, minggu lepas.

Pembunuhan kejam itu terbongkar selepas polis menyerbu bengkel membaiki kenderaan berat di Jalan Pahang di sini pada 26 Okt lepas, selepas mendapat maklumat mengenai seorang lelaki, Jasbeer Singh a/l Beer Sing yang dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 25 Ogos lalu.

Susulan itu polis membongkar kehilangan tiga lagi individu termasuk Gunavathi yang dipercayai mangsa pembunuhan kejam di bengkel sama dan polis percaya ada orang lain yang menjadi mangsa keluarga itu.

Polis masih belum mendedahkan secara rasmi identiti mangsa walaupun keluarga empat mangsa yang hilang tampil mengatakan ahli keluarga mereka antara yang dibunuh.

Dua lagi yang hilang adalah konduktor bas, Ng Ah Leng @ Mohan yang dilihat kali terakhir oleh keluarganya pada 2012 dan operator bas, V. Gunawaty yang dilaporkan hilang pada Mac.

Sekumpulan individu dilihat berkumpul di perkarangan mahkamah di sini, menunggu sejak awal pagi untuk melihat kelibat suspek.

Terdahulu keempat-empat suspek dibawa masuk ke mahkamah kira-kira pukul 8.20 pagi.

Selepas itu mereka dibawa ke ibu pejabat polis di sini di mana laporan lanjut akan dibuat terhadap mereka.

Pada pukul 9.45 pagi, polis membawa semua suspek kembali ke mahkamah.

Orang ramai yang berada di perkarangan mahkamah bersurai sebaik sahaja suspek dibawa menaiki dua kenderaan polis sejam kemudian.




Artikel Sebelum

Polis Soal Siasat Dr Mahathir

Artikel Berikut

Artikel Lain