suria

Agihan Asnaf Mualaf Di Selangor Lima Tahun - Mais

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memperuntukkan bantuan khusus untuk diagihkan kepada asnaf mualaf sepanjang tempoh lima tahun sebaik selesai proses pengislaman.

Pengurus Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Mualaf Mais, Suhaimi Ismail berkata, tempoh tersebut sebagaimana yang diputuskan dalam Fatwa Had Tempoh Panggilan Mualaf pada 2007.

"Jika di Selangor, tempoh had panggilan mualaf adalah selama lima tahun. Jadi mereka layak menerima agihan asnaf mualaf sepanjang tempoh bergelar saudara baharu itu," katanya kepada mStar Online.

Menurut Suhaimi, amalan pengagihan zakat asnaf mualaf di Selangor juga boleh dianggap sebagai baik dan tersusun.

"Kedudukan saudara baharu dari segi menerima bantuan adalah sama seperti tujuh asnaf yang lain. Mereka akan menerima bantuan awal sebanyak RM500 selepas selesai proses pendaftaran pengislaman," katanya.

Namun, beliau berkata, secara umumnya agihan zakat dibuat mengikut ketetapan negeri masing-masing seperti syarat dan dokumen sokongan yang diperlukan.

"Setiap bantuan yang ditawarkan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan. Laporan siasatan atau dokumen sokongan dan komitmen kehadiran kelas agama juga diambil kira dalam setiap permohonan bantuan mualaf," katanya.

Beliau berkata, antara bantuan yang diberikan adalah seperti sagu hati Hari Raya, bantuan pendidikan, bantuan galakan saudara baharu, tempat berlindung, bantuan modal dan perubatan serta pengurusan jenazah.

Malah jelas Suhaimi lagi, golongan ini turut mendapat bantuan berkhatan, bantuan perkahwinan dan elaun kehadiran kelas agama asas.

"Golongan mualaf  adalah mereka yang baru memeluk Islam sama ada imannya lemah atau sudah kuat. Mais menyediakan bantuan tersebut bagi membantu golongan itu memulakan kehidupan baharunya," kata Suhaimi.

Beliau berkata, golongan tersebut turut dibantu sistem sokongan seperti masjid, surau, komuniti setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), keluarga angkat dan rakan mualaf yang memudahkan lagi maklumat disampaikan serta permasalahan diselesaikan dengan kadar segera.

"Selain bantuan berbentuk wang tunai, agihan asnaf mualaf juga dilaksanakan dalam bentuk program-program asas mualaf dan pengukuhan mualaf. Tidak ketinggalan juga modul pendidikan yang seragam melalui Buku Teks Mualaf yang diterbitkan oleh pihak Mais," katanya.

Pada 2014, Mais menerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan wang zakat sebanyak RM53.1 juta kepada asnaf mualaf.

Mais, zakat, mualaf

Artikel Berikut

Artikel Lain