KUALA LUMPUR: Biro Tatanegara (BTN) pada Sabtu mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan Akta Patriotisme Negara bagi membendung dan mencegah perbuatan pihak tertentu yang mencemar kedaulatan negara. Ketua Pengarah BTN Datuk Raja Arif Raja Ali berkata undang-undang itu penting supaya elemen kenegaraan dan patriotisme terus disemai dan dipelihara setiap masyarakat khasnya golongan muda yang terdedah dengan pelbagai ancaman dan cabaran baru. "Akta sedia ada bukannya tidak cukup untuk membendung gejala atau aktiviti yang mencemar semangat patriotisme dan cintakan negara, cuma ia tidak komprehensif. "Oleh kerana itu, kita cadangkan akta ini diperkenalkan untuk melengkapkan apa yang kurang dalam situasi negara berdepan pelbagai cabaran luar seperti ancaman kumpulan militan I.S/ dan persepsi negatif bencikan negara melalui media sosial. "Mekanisme ini antara lain dapat memupuk, mengukuhkan dan meningkatkan patriotisme dalam kalangan generasi muda Malaysia," katanya dalam sidang media selepas pembentangan Indeks Patriotisme Negara (IPN) sempena Konvensyen Patriotisme Negara 2015 di sini Sabtu. Raja Arif berkata akta itu juga jika dibentang dan diluluskan di Parlimen kelak, mampu menghukum pesalah yang mencemar Cogan dan Lambang Kedaulatan Negara seperti kepada Jalur Gemilang, Jata Negara dan Rukun Negara. Katanya, akta ini juga bagi memberi kesedaran dan mendidik masyarakat supaya faham patriotisme dalam konteks sebenar dan bukannya hanya bersatu jika wujud sesuatu masalah dan krisis yang melanda negara. "Jangan momen perpaduan sahaja yang menyatukan dan mewujudkan sifat patriotisme contohnya ancaman pengganas di Lahad Datu, pemain badminton negara Lee Choong Wei menang kejuaraan besar dan pesawat MH17 ditembak. "Nilai-nilai patriotisme ini tidak perlu bermusim dan seharusnya sentiasa disemai di setiap lapisan masyarakat selalu. Barulah sifat majmuk dan perpaduan terus ditanam dan kekal wujud," tambahnya. Menyentuh mengenai Indeks Patriotisme Negara (IPN), Raja Arif berkata ia mencatatkan skala purata indeks 4.19 berbanding skala purata tertinggi (maksimum) iaitu 5.0 bagi kajian yang dijalankan tahun ini. Beliau berkata dapatan itu diperoleh melalui kajian yang dijalankan melibatkan 10,000 responden seluruh negara mengikut komposisi penduduk Malaysia. "Indeks yang diperoleh hari ini akan diterus dijalankan untuk mengukur semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat Malaysia dan akan diguna pakai untuk merancang dasar kerajaan dalam memupuk semangat cintakan negara," katanya. IPN pada tahun 2013 ketika mula-mula dilancar mencatatkan ukuran 3.8 (sederhana) manakala pada tahun lepan meningkat kepada 4.41 (tinggi). IPN diukur melalui tujuh dimensi merangkumi aspek kenegaraan, kesetiaan kepada institusi raja dan kesultanan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan pola kependudukan dan interaksi antara kaum. Aspek lain yang diberi perhatian ialah penglibatan dalam aktiviti sosial, penggunaan produk tempatan serta Gagasan 1Malaysia. - BERNAMA