PETALING JAYA: Jabatan Penjara menafikan dakwaan tahanan reman, Matthias Chang mengenai selnya yang terpaksa dikongsi bersama banduan penghidap HIV dan batuk kering. Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan, Supri Hashim berkata, bekas pegawai khas Tun Dr Mahathir Mohamad itu telah ditempatkan di klinik Penjara Sungai Buloh atas saranan pegawai perubatan yang memeriksa dan merawatnya. Bagaimanapun katanya, banduan reman tersebut ditempatkan secara berasingan dari banduan yang menghidap HIV dan batuk kering atau TB. "Banduan pengidap HIV dan TB bukan sahaja diasingkan penempatannya dari banduan HIV dan TB yang lain, malah dari banduan-banduan lain. "Penempatan secara berasingan tersebut juga mengikut prosedur penjara dan bagi kepentingan kawalan kesihatan untuk semua banduan," kata Supri dalam satu kenyataan pada Sabtu. Pada Khamis lalu, Chang yang juga seorang peguam meluahkan rasa tidak puas hati mengenai keadaannya di sel kepada Mahkamah Tinggi ketika membantah keputusan mahkamah menolak permohonan beliau dan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan supaya dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu kes mereka disebut pada 18 November ini. Dalam pada itu, Supri turut menegaskan bahawa semua kerja-kerja pengurusan dan rawatan banduan berpenyakit TB dan HIV hanya dikendalikan oleh pegawai perubatan, pembantu pegawai perubatan dan pegawai penjara sahaja. "Tidak ada arahan atau paksaan yang dibuat oleh pihak penjara untuk banduan reman Matthias membantu banduan lain yang sakit (bukan sakit berjangkit) yang berada di klinik penjara," tambah Supri. Terdahulu, peguam bela Mohammed Haniff Khatri Abdulla memohon untuk mengemukakan ikat jamin sementara tetapi Timbalan Pendakwa Raya Mohd Masri Daud menolak permohonan itu. Khairuddin dan Chang didakwa di mahkamah pada 12 Oktober lalu atas tuduhan cuba mensabotaj sistem pembankan dan kewangan negara. Mereka didakwa mengikut Seksyen 124 L Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama. Pihak kerajaan mendakwa tuduhan sabotaj itu membolehkan Khairuddin dan Chang ditahan mengikut Sosma 2012. Mahkamah Tinggi akan memutuskan pada 18 November ini sama ada penahanan mereka itu boleh dibuat mengikut Sosma 2012 atau tidak.