suria

Anak PM Sokong Vape Tidak Diharamkan

Mohd Nazifuddin Najib.

PETALING JAYA: Pengusaha industri vape di negara ini pasti lega apabila anak lelaki perdana menteri, Mohd Nazifuddin Najib tampil menyuarakan sokongan terhadap perniagaan baharu itu sambil berharap ia tidak diharamkan.

Mohd Nazifuddin berkata, beliau secara peribadi menganggap industri vape mempunyai potensi untuk berkembang berdasarkan sambutan hangat terhadap produk tersebut.

"Saya harap industri ini terus berkembang di Malaysia. Saya tidak setuju dengan pengharaman vaping. Kita hanya perlu vape dengan bertanggungjawab dan beretika," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman sosial, Facebook miliknya.

Kata Mohd Nazifuddin, beliau kagum kerana kebanyakan produk terbaik seperti perisa cecair vape dihasilkan oleh usahawan muda tempatan.

Jelas beliau lagi, di awal kemunculan rokok elektronik dan pelekat nikotin di pasaran beberapa tahun lepas, produk itu kurang mendapat sambutan tetapi kini tidak dapat dinafikan ia sebagai alternatif untuk menghentikan tabiat merokok.

"Kini kita dapat lihat sambutan yang hangat terhadap produk ini dan trend vaping. Saya merasakan ia masih kekal sebagai alternatif merokok dan kita seharusnya mengiktiraf inovasi dan kreativiti yang telah timbul dari industri ini," katanya.

Bagaimanapun, pada masa sama, beliau mengakui bahawa ketagihan vape adalah sesuatu tabiat yang tidak baik.

"Tidak dapat dinafikan bahawa ketagihan vape adalah sesuatu yang tidak baik. Namun, saya sokong jika ia dilakukan dengan adab dan tatacara yang betul. Ramai juga kenalan saya yang vape, malah ada yang telah berhenti merokok," katanya.

Mohd Nazifuddin turut membidas tindakan segelintir individu yang mengecam semua yang terlibat dalam industri vape hanya kerana disebabkan satu kes tertentu.

"Masyarakat kita lebih cenderung untuk mengecam semua yang terlibat dalam industri ini (terutamanya para belia) hanya kerana satu kes yang unik dan ekstrem," katanya.

Pada 30 Oktober lalu, Kabinet memutuskan untuk tidak mengharamkan penggunaan vape walaupun Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam mencadangkan agar penggunaan produk itu diharamkan.

Susulan itu juga, Kementerian Kesihatan giat menjalankan operasi menyerbu kedai menjual vape di seluruh negara dan merampas sejumlah besar produk yang mengandungi nikotin yang dikatakan berbahaya kepada kesihatan.





vape, vaping, Mohd Nazifuddin Najib

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain