suria

Kempen Rekrut IS Tidak Fokus Kumpulan Tertentu

Noor Rashid Ibrahim

ALOR SETAR: Kumpulan militan IS menjalankan kempen merekrut secara menyeluruh dan tidak memfokuskan kepada mana-mana kumpulan dalam masyarakat negara ini, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata, kempen kumpulan pengganas itu tidak memberi tumpuan kepada mana-mana pihak, walaupun terdapat penjawat awam serta anggota tentera dikesan terpengaruh dengan IS.

"Yang terpengaruh (dengan kempen IS) adalah mereka yang bersimpati dengan mereka. Jadi (kempen rekrut IS) tidak fokus kepada penjawat awam. Dia punya kempen adalah menyeluruh."

"Kita tahu apa yang mereka lakukan dan (kita) tahu sesiapa atau mereka yang bersimpati dengan perjuangan IS. Mereka dalam pemantauan kita," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Noor Rashid berkata demikian selepas menghadiri istiadat penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir di Ibu Pejabat Polis Kontingen Negeri Kedah.

Yang turut hadir pada istiadat itu adalah Ketua Polis Negeri Datuk Zamri Yahya.

Timbalan Ketua Polis Negara itu berkata, kumpulan pengganas itu menggunakan pelbagai teknologi termasuk laman-laman sosial seperti Facebook dalam usaha menarik orang ramai untuk menganggotainya.

Menurutnya, polis memandang serius ancaman daripada kumpulan IS tetapi setakat ini ia masih terkawal.

"Kita memantau dengan rapi apa juga aktiviti mereka dan kempen-kempen mereka dan setakat ini tidaklah sampai mengancam keadaan keselamatan dalam negara, tetapi kita melihatnya sebagai suatu yang cukup serius," katanya.

Sebanyak 300 bekas anggota polis yang berkhidmat semasa tempoh darurat dan ketika era insurgensi Komunis dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara dalam istiadat penganugerahan hari ini.

Menurut Mukhriz, kerajaan negeri bersama dalam usaha-usaha yang dilaksanakan Persatuan Bekas Anggota Polis dalam meringankan beban dan meningkatkan kebajikan bekas-bekas anggota polis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain