KLANG: Polis akan merekodkan kenyataan anak Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali pada Isnin berhubung perhimpunan Bersih 4. Arahan polis itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan bapa kepada remaja berusia 15 tahun itu yang dijadual akan menduduki peperiksaan di sekolahnya pada hari yang sama. Paparan skrin Twitter milik Azmin Ali. Menerusi Twitter, Timbalan Presiden PKR itu berkata polis mengeluarkan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah bagi merekodkan kenyataan anaknya berhubung perhimpunan tersebut. Azmin berkata, anaknya diarahkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada pukul 10 pagi esok (Isnin). "Anak kecil seawal 15 tahun sudah dizalimi pasti akan bangkit dan melawan kezaliman dan kemungkaran Umno. Syukur anak saya Basheer berani," tulis Azmin.