Pemangku Ketua Polis Johor Datuk Ramli Hassan yang mengesahkan laporan berkenaan berkata setakat ini pihaknya menerima lima laporan iaitu dua di Johor Baharu Utara dan tiga di Balai Polis Nusajaya.
Beliau berkata pihaknya mendapat laporan itu berikutan kegusaran masyarakat terhadap tindakan provokasi Tan yang menggunakan helaian naskah al-Quran digunakan sebagai tisu tandas.
"Banyak pihak yang marah dengan tindakan Tan ini, saya banyak mendapat panggilan daripada pelbagai pihak, sebelum ini mereka boleh bertahan tetapi kali ini perbuatan Alvin ini sangat melampau," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gelang Patah Abdul Hamid Soaip yang mewakili beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis di Balai Polis Kangkar Pulai, Nusajaya, petang tadi berkata pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap individu terbabit.
"Kami berharap pihak berkuasa akan menyiasat lebih terperinci supaya Tan dibawa ke muka pengadilan kerana perbuatannya yang melampau itu," kata beliau selepas membuat laporan polis.