suria

Dun Selangor Jadi Medan Politik, Desak Kerajaan Pusat Beri Rawatan Kepada Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim
SHAH ALAM: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat, berubah menjadi medan politik apabila usul mendesak kerajaan pusat memberi rawatan perubatan dengan segera kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, diluluskan.

Sementara itu, pada Jumaat pegawai kanan Kementerian Kesihatan berkata Anwar telah dirawat oleh 17 pakar berserta satu panel perubatan yang terdiri daripada enam pakar bagi memantau keadaan fizikalnya.

Malah, doktor-doktor pakar itu telah mengemukakan kepada Anwar tiga syor pada 28 Ogos lepas, untuk mengatasi masalah sendi bahunya iaitu sama ada meneruskan rawatan konservatif, melakukan pembedahan Artroskopik yang memerlukan invasif yang minimum, atau melakukan pembedahan menggantikan sendi bahu.

Pada 29 September lepas, seorang pakar pilihan Anwar memeriksa bekas ketua pembangkang berusia 68 tahun itu, dan turut bersetuju dengan tiga syor yang dikemukakan itu serta memintanya membuat pilihan.

Bagaimanapun, Dr Xavier Jayakumar (PKR-Seri Andalas) telah membentangkan usul itu di persidangan DUN, dan disokong Rodziah Ismail (PKR-Batu Tiga), yang kemudiannya, diterima Speaker DUN Hannah Yeoh Tseow Suan selepas sesi perbahasan dilakukan.

Ketika mengemukakan usul itu, Dr Xavier mendakwa Anwar, yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan meliwat pembantu peribadinya, dikatakan tidak menerima rawatan perubatan yang sempurna.

Sementara itu, Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Panjang) semasa membahas usul itu mempertikaikan keperluan DUN Selangor membenarkan usul berkenaan dikemukakan, malah menyifatkannya tidak melibatkan kepentingan rakyat negeri itu.

"Apa rasionalnya usul seperti ini dibawa ke dalam Sidang DUN Selangor kerana tiada kaitan langsung dengan kesejahteraan rakyat negeri ini.

"Usul seperti ini sepatutnya dibangkitkan di Parlimen memandangkan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, anggota Parlimen (MP) Gombak dan anak Anwar sendiri, Nurul Izzah (MP) Lembah Pantai ada di situ," katanya.

Persidangan DUN Selangor ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Artikel Lain