PUTRAJAYA: Selepas menimbulkan kerisauan di kalangan rakyat negara ini pada September tahun lalu, sekali lagi klip video berkaitan telur palsu tersebar di media sosial. Rakaman pada 28 Oktober di mana seorang lelaki meneliti sandwic yang dibeli anaknya di sebuah sekolah di Kuala Lumpur disiarkan menerusi Facebook dan YouTube awal bulan ini. Tekstur pada bahagian kuning telur itu umpama plastik, manakala telur separuh masak pula seperti getah dan elastik. Klip video itu juga menunjukkan lelaki berkenaan mencucuk telur itu yang kelihatan dapat melantun umpama bola pada meja. Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Mohd Roslan Mahyudin berkata, dakwaan itu akan disiasat walaupun maklumat menerusi laman media sosial itu tidak lengkap. "Sesiapa yang mempunyai maklumat perlu tampil dan maklumkan kepada kami dimana membeli telur itu. Lebih baik lagi jika dapat berikan bukti. Kami mempunyai pejabat di seluruh negara," katanya. Contoh berkenaan katanya, akan dihantar untuk dianalisa makmal Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Menerusi video tahun lalu, seorang wanita yang merebus telur yang dibeli dari pasaraya di Lembah Klang mendapati tekstur kuning telur umpama getah.