KOTA BHARU: Seorang daripada dua murid Orang Asli yang terselamat setelah hilang 48 hari dalam hutan, telah dibenarkan keluar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II. Mirsudiar Aluj, dari SK Pos Tohoi, yang telah dimasukkan ke hospital selama 39 hari berkata dalam tempoh itu dia amat rindukan ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain. Namun, pelajar berusia 11 tahun itu berkata dia telah ditemani oleh jururawat yang baik yang menurut segala kehendak dan keperluannya. "Mereka juga melukis gambar bersama dengan saya." Mirsudiar berkata kakaknya, Nurin sering datang ke wad dan untuk melukis gambar bersama-sama dengannya menggunakan krayon berwarna-warni yang disumbangkan oleh orang ramai. "Saya sangat suka melukis dan satu hari nanti apabila sudah besar saya bercadang untuk menjadi seorang pelukis profesional," katanya. Mirsudiar juga berjanji tidak akan mandi sungai lagi kerana tidak mahu insiden 23 Ogos berulang. Kakaknya, Rina, 22, berkata berat badan Mirsudiar telah naik berbanding keadaan ketika dia diselamatkan dari hutan simpan Balah. "Saya gembira dia berada dalam kesihatan yang baik. Dia bertenaga dan selera makannya bertambah baik tetapi dia masih tidak mesra dengan orang yang tidak dikenali," menurut Rina. Salah seorang jururawat yang merawat Mirsudiar, Nurul Wani Mohd Hassan, berkata berat badannya naik lapan kilogram dalam tempoh 39 hari dan itu satu perkembangan yang menggalakkan. "Bagaimanapun, dia perlu kembali ke sini pada 28 Januari untuk bertemu pakar kanak-kanak bagi rawatan susulan" katanya. Mirsudiar, ditemani adik-beradiknya dan bapa saudaranya menaiki pacuan empat roda dari Jabatan Kemajuan Orang Asli, ke hospital Gua Musang untuk rawatan perubatan lanjutan sebelum kembali ke kampung mereka di Kampung Gawin. Pada 1 Oktober Miksudiar dan Norieen Yaakob, 10, ditemui selepas hilang 48 hari di hutan simpan Balah, manakala lima murid lain, Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Linda Rosli, 8, Sasa Sobrie, 7 dan Juvina Daud, 7, meninggal dunia selepas mereka melarikan diri ke dalam hutan kerana takut dihukum selepas berenang di sungai berdekatan tanpa kebenaran pada 23 Ogos.