suria

Video: IS Ancam Serang Washington Dan Beberapa Negara Lain

CAIRO: Militan Negara Islam (IS) memberi amaran menerusi video terbaharu mereka pada Isnin bahawa negara-negara yang terlibat dalam serangan udara di Syria akan menerima nasib yang sama seperti Perancis dan mengancam untuk menyerang Washington.

Video itu, yang muncul di laman web yang digunakan mereka untuk menghantar mesej, bermula dengan 'footage' berita selepas kejadian tembakan Paris pada Jumaat di mana sekurang-kurangnya 129 orang telah terbunuh.

Mesej itu yang disampaikan kepada negara-negara yang terlibat yang dipanggil 'kempen salib' telah disampaikan oleh seorang lelaki memakai serban dan berpakaian seragam, dikenal pasti sebagai Al Ghareeb dari Algeria.


"Kami berkata kepada negara-negara yang mengambil bahagian dalam kempen tentera salib itu bahawa, pada satu hari,dengan izin-Nya, seperti di Perancis, seperti yang kami telah menyerang Perancis di tengah-tengah Paris, maka kami bersumpah bahawa kami akan menyerang Amerika di pusatnya di Washington," kata lelaki itu.


Kesahihan video itu bagaimanapun tidak dapat disahkan dengan segera, yang kononnya dilakukan pejuang Negara Islam di wilayah Iraq, di utara Baghdad.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) tidak akan mengulas mengenai video itu tetapi berkata ia tidak menerima maklumat yang menunjukkan potensi serangan.

"Walaupun kita mengambil semua bentuk ancaman sebagai serius, kita tidak mempunyai maklumat yang boleh dipercayai khusus untuk serangan ke atas tanah air AS," kata seorang pegawai DHS dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Kerajaan Perancis telah memanggil serangan di Paris sebagai tindakan perang dan berkata ia tidak akan mengakhiri serangan udara terhadap Negara Islam di Syria dan Iraq.

Jet pejuang Perancis melancarkan serangan terbesar mereka di Syria setakat ini pada Ahad, mensasarkan kubu kuat Negara Islam di bandar Raqqa, melalui penyelarasan dengan tentera AS.

Polis semalaman menyerbu rumah-rumah yang disyaki mempunyai kaitan dengan militan Islam di seluruh Perancis, berikutan serangan Paris.

"Al Ghareeb warga Algeria" juga memberi amaran kepada Eropah melalui video itu bahawa lebih banyak serangan akan dilakukan pada masa akan datang.

"Saya berkata kepada negara-negara Eropah bahawa kami akan datang, datang dengan perangkap samar dan bahan letupan, datang dengan tali pinggang letupan dan senapang senyap dan anda tidak akan dapat menghalang kami kerana hari ini kami adalah lebih kuat daripada sebelum ini," katanya.

Merujuk kepada rundingan antarabangsa untuk menamatkan perang Syria, seorang lagi lelaki Iraq yang dikenal pasti dalam video sebagai Al Karrar memberitahu Presiden Perancis Francois Hollande bahawa "kami telah membuat keputusan untuk berunding dengan anda di medan pertempuran dan tidak di hotel-hotel."
IS, militan Islam, pengganas

Artikel Lain