suria

Zoo Negara Mula Pamer Anak Panda Gergasi Hari Ini

KUALA LUMPUR: Zoo Negara akan mempamerkan anak panda betina kepada pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang mulai hari ini.

Timbalan Presidennya Rosly@Rahmat Ahmad Lana berkata tontonan umum itu akan berlangsung dari 2.30 hingga 3.30 petang setiap hari.

"Sekiranya anak panda itu tidak meragam, pada Disember ini kami mungkin buat dua sesi tontonan iaitu pagi dan petang," katanya.

Beliau berkata segala persiapan telah dibuat bagi penontonan anak panda itu kepada khalayak awam, yang memang ditunggu-tunggu.

"Kami sedia mengawal keadaan sekiranya pengunjung terlalu ramai dalam  satu-satu masa," katanya ketika dihubungi Bernama, Isnin.

Anak panda yang dilahirkan pada 18 Ogos, kini mampu merangkak dan berjalan namun masih tidak bergerak aktif.

Anak panda yang belum dinamakan itu seberat 5.6 kilogram.

Seorang pengunjung setia Zoo Negara, Nizrul Khalid, 37, berkata beliau dan anaknya yang berusia tiga tahun tidak sabar untuk melihat anak panda itu dengan dekat.

"Anak perempuan saya membayangkan anak panda itu sama seperti anak patung beruang...Saya nak bawa dia bagi melihat sendiri perbezaan kedua-dua haiwan itu," katanya.

Peminat setia panda gergasi itu, Artikah Jaafar, 26, yang mengikuti berita  tentang pasangan itu sejak mereka tiba di Malaysia, gembira anak panda itu akan dipertontonkan mulai Selasa.

"Saya akan menjadi antara pengunjung terawal melihat anak pada itu esok," katanya.

Anak panda itu akan dihantar pulang ke China selepas dua tahun berada di sini.

Mengikut perjanjian antara kerajaan Malaysia dan China, Xing Xing dan Liang Liang akan menetap di sini selama 10 tahun.

Pasangan panda gergasi yang dipinjamkan China tiba di negara ini pada 21 Mei tahun lepas sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Artikel Lain