suria

Anggota Polis Koma Terjatuh Dari Tingkat Tiga Perumahan Polis

GEORGE TOWN: Seorang anggota polis cedera parah setelah terjatuh daripada rumahnya di tingkat tiga Blok 107 Perumahan Polis Lone Pine, Air Itam, di sini pada Rabu.

L/Kpl Muhammad Azrell Zainal Abidin, 31, dari balai polis Tanjung Tokong kini koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata anggota polis itu dilapor terjatuh ketika ingin memasuki rumahnya melalui pintu dapur setelah pulang dari bertugas pada pukul 9 pagi ini.

"Ketika balik ke rumahnya, dia dapati rumahnya berkunci dari dalam menyebabkan dia pergi ke bahagian dapur. Dia memanjat dengan tujuan nak masuk melalui pintu dapur rumahnya," katanya pada sidang media, Rabu.

Beliau berkata anggota itu dilapor patah pergelangan tangan kiri, patah bahu kiri dan terdapat darah beku di dalam kepala.

Mior Faridalatrash berkata anggota yang berasal dari Selangor itu baru dua tahun bertugas di Balai Polis Tanjung Tokong, sementara isterinya sedang melanjutkan pelajaran di Selangor.

"Pasangan itu mempunyai seorang anak yang masih kecil (dua tahun)," katanya.

Sementara itu isteri Muhamad Azrell, Nor Hazwani Mansor, 26, ketika ditemui Bernama di Hospital Pulau Pinang berkata beliau mendapat berita itu daripada ibunya ketika sedang berada di kelas di Universiti Selangor (Unisel).

"Saya terima berita pagi ini semasa dalam kelas...mujur ada tiket untuk saya balik hari ini," kata penuntut Ijazah Pendidikan Kanak-kanak di Unisel itu yang tidak dapat menahan sebak apabila melihat keadaan suaminya.

Bercerita lanjut mengenai suaminya, Nor Hazwani berkata suaminya masih tidak sedarkan diri dan tidak menunjukkan sebarang reaksi tatkala namanya dipanggil.

Ibu mertua Muhammad Azrell, Sharifah Mohd Yusof, 53, yang tinggal berhampiran rumah anggota itu, berkata beliau mengetahui kejadian menimpa menantunya melalui jirannya di kawasan itu.

"Makcik mengucap panjang bila tahu berita ini dan terus bergegas datang, rumah kami dekat saja. Azrell beli nasi dua bungkus untuk adik dia tapi dia nak masuk rumah tak dapat sebab adik dia sedang tidur di dalam tak dengar panggilan dia...dia cuba masuk rumah dengan panjat.

"Lepas dia jatuh jiran panggil adik dia dan menunjukkan gambar abangnya yang sudah terbaring di bawah," katanya.

Sharifah berkata beliau menemani menantunya itu semasa dibawa ke hospital oleh anggota bomba dan sepanjang perjalanan Muhamad Azrell mengadu kepadanya sakit di bahagian tangan dan kepala. Bagaimanapun Sharifah berkata menantunya kemudian semakin lemah dan tidak sedarkan diri sebaik tiba di hospital.-Bernama

Artikel Lain