suria

Sidang Kemuncak ASEAN: Isu Laut China Selatan, Keganasan Antara Topik Hangat

Anifah Aman tiba di KLCC bagi sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Berkaitan pada Rabu. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Isu Laut China Selatan, situasi di Semenanjung Korea, radikalisasi dan keganasan akan menjadi topik utama pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, hujung minggu ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata pemimpin-pemimpin ASEAN dan lapan rakan dialog perkumpulan itu juga dijangka akan membincangkan peranan kesederhanaan serta isu-isu alam sekitar.

"Pemimpin-pemimpin ASEAN dan lapan rakan dialog dijangka membincangkan hubungan dialog dan hala tuju masa depan," katanya pada sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Berkaitan di sini pada Rabu.

Beliau berkata perbincangan akan merangkumi kerjasama dalam bidang keselamatan, ekonomi dan kebudayaan, sambil menambah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga akan mengadakan mesyuarat dua hala di luar sidang kemuncak tersebut.

Mengulas lanjut, katanya ASEAN dan rakan dialognya dijadual terlibat dalam10 sidang kemuncak berkaitan termasuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-27, Sidang Kemuncak ASEAN+3 ke-18 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-10 yang bermula Rabu hingga Ahad ini.

Rakan dialog terlibat ialah Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.

Anifah mengulangi topik utama ialah pembentukan rasmi Komuniti ASEAN menjelang akhir tahun ini yang akan menyaksikan para pemimpin menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur 2015 Mengenai Pembentukan Komuniti ASEAN dan Deklarasi Kuala Lumpur Berkaitan ASEAN 2015 dengan tema 'Maju Bersama'.

Anifah menegaskan Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai Komuniti ASEAN merupakan dokumen politik yang menggariskan carta perancangan strategik dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pemimpin ASEAN juga akan menghadiri majlis memeterai Konvensyen ASEAN Bagi Menentang Pemerdagangan Manusia Terutama Wanita dan Kanak-Kanak pada Sabtu ini sebaik sahaja sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-27.

"Pemimpin juga akan membincangkan pembentukan Komuniti ASEAN dan hala tuju masa depan serta bertukar-tukar pandangan mengenai kebimbangan bersama isu-isu serantau dan antarabangsa pada sesi pleno pada hari yang sama," katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan di dahului dengan beberapa siri Mesyuarat Peringkat Menteri, Jumaat ini, iaitu Mesyuarat Majlis Komuniti Politik Keselamatan ASEAN ke-13, Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN ke-14 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-17.

Semasa sidang kemuncak tersebut, Anifah berkata 18 dokumen akan diterima pakai termasuk Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai Penuaan: Memperkasa Warga Tua diASEAN; Kenyataan Bersama Perubahan Iklim; Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai Ulang Tahun ke-10 Sidang Kemuncak Asia Timur dan Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai Pendidikan Tinggi.

Di samping itu, pemimpin ASEAN+3 akan turut mengadakan sesi pertemuan dengan Majlis Perniagaan Asia Timur selain sidang kemuncak berkaitan seperti Sidang Kemuncak ASEAN+1, Sidang Kemuncak ASEAN-PBB Ketujuh, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-10 dan Sidang Kemuncak ASEAN+3 ke-18 pada Sabtu dan Ahad ini.

Beliau berkata penerima dari negara-negara anggota ASEAN akan diberikan geran kewangan US$10,000 (RM43,687) dan sebuah trofi pada majlis Anugerah Warga ASEAN semasa perasmian Sidang kemuncak ASEAN.

"Geran tersebut diberi bagi mengiktiraf sumbangan bermakna mereka ke arah pembinaan Komuniti ASEAN serta menggalakkan mereka supaya meneruskan aktiviti masing-masing ke arah pembentukan komuniti serantau ini," katanya.-Bernama

Artikel Sebelum

Bapa Maut Dipukul Anak OKU

Artikel Lain