suria

Rajinikanth Luang Masa Bertemu Peminat Sakit

KUALA LUMPUR: Tiada apa yang membuatkan Agnes Sandanam, 49, yang sedang bertarung nyawa, bahagia selain dapat berjumpa dengan bintang filem India kesukaannya, Rajinikanth yang kini berada di ibu negara untuk penggambaran filem.

Agnes, yang berasal dari Singapura, disahkan menghidap kegagalan jantung peringkat akhir, mempunyai impian terakhir dalam hidupnya iaitu ingin bertemu dengan bintang filem Tamil itu sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.

"Saya merupakan peminat fanatik Rajinikanth sejak saya berusia 12 tahun lagi, kini tahap kesihatan saya agak kritikal. Hasrat terakhir saya ialah untuk berjumpa dengan artis terkenal itu," katanya kepada Bernama selepas bertemu Rajinikanth di sini baru-baru ini.

Agnes berkata beliau mengambil pelbagai inisiatif dan terus berusaha untuk bertemu Rajinikanth dan akhirnya Sri Shankar Ganesh, pengasas Isai Empire yang juga bekas penyampai radio THR membawa sinar harapan untuk merealisasikan impiannya itu.

"Saya membuat permintaan itu menerusi laman sosial Facebook Shankar dan terharu serta gembira apabila beliau bersetuju untuk membantu saya," kata Agnes yang ditemani anak perempuannya.

Walaupun berkerusi roda, Agnes tiba di ibu kota Jumaat lepas dari Singapura semata-mata untuk berjumpa idolanya itu pada Sabtu di hotel penginapan bintang ternama itu.

Tarikh 14 Nov merupakan detik paling bermakna dan akan diingati selalu dalam hidupnya setelah Shankar berjaya mengatur pertemuannya dengan Rajinikanth, 65.

"Saya begitu gembira dapat berjumpa dengan Rajinikanth di depan mata saya sendiri dan tiada kata-kata yang boleh diucapkan untuk menyatakan perasaan saya kerana hasrat saya telah dipenuhi," katanya dengan linangan air mata.

Agnes berkata Rajinikanth seorang yang merendah diri, mesra dan tidak menyangka walaupun beliau sakit, tetap sanggup datang dari jauh semata-mata untuk bertemu bintang filem 'Padayappa' itu.

Dalam pertemuan 30 minit di depan bilik penginapan Rajinikanth, Agnes turut memeluk pelakon itu dan tidak melepaskan peluang merakam foto kenang-kenangan yang sangat berharga dalam diari kehidupannya itu.

Sementara itu, Shankar atau lebih dikenali sebagai Funky Shankar berkata beliau gembira dapat memenuhi permintaan Agnes walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa mengatur pertemuan itu.

"Sebaik mendapat permintaan daripada Agnes, saya menghubungi ramai orang agar dapat berjumpa dengan Rajinikanth. Pada mulanya ada pihak yang menipu dan menabur janji kosong.

"Akhirnya saya berjumpa dengan penganjur yang menguruskan aktiviti Rajinikanth dan berterus-terang dengan mereka bahawa ada peminat yang sedang sakit mahu berjumpa dengan artis itu dan mereka terus bersetuju," katanya.

Shankar berkata walaupun terpaksa menunggu dari pukul 7 malam dan hanya dapat berjumpa tiga jam selepas itu, penantian itu berbaloi apabila Rajinikanth menyambut mereka dengan mesra.

"Rajinikanth seorang yang benar-benar rendah diri dan mesra dalam kehidupan sebenar, sebab itulah ramai yang menyukai beliau sehingga kini," katanya.

Bintang veteran itu tiba di Malaysia awal bulan ini dan akan berada di Malaysia sehingga Sabtu ini bagi menjalani penggambaran filem terbarunya, 'Kabali' di Melaka dan Kuala Lumpur.

Kabali, Rajinikanth

Artikel Sebelum

Jawi Buru 'Ustaz Kasanova'

Artikel Berikut

Artikel Lain