HONG KONG: Portal berita mStar Online melakar sejarah apabila dipilih menjadi laman web bahasa Malaysia pertama memenangi anugerah berita digital antarabangsa. Anak syarikat Kumpulan Media Star itu memenangi pingat gangsa dalam kategori Laman Web Gaya Hidup Terbaik ASia 2015 dalam majlis Anugerah Media Digital Asia 2015 yang berlangsung di Hotel The Mira, Hong Kong pada Rabu. Anugerah tersebut disampaikan Persatuan Akhbar dan Penerbit Akhbar Dunia (WAN-IFRA). WAN-IFRA adalah sebuah persatuan yang mewakili lebih 18,000 syarikat penerbitan, 15,000 laman web dalam talian dan 3,000 syarikat di 120 negara. Pengarang Eksekutif mStar, Rozaid A. Rahman berkata kemenangan itu menunjukkan mStar berada di landasan yang betul sejak ia melalui proses penjenamaan semula tahun lalu. Menurut beliau, pengiktirafan antarabangsa ini sangat bermakna kepada tenaga kerja mStar kerana portal itu baharu saja menyambut ulang tahun ke-10 Ogos lalu. MStar Online diperkenalkan pada Ogos 2005 hasil inisiatif Ketua Pengarang Kumpulannya ketika itu Datuk Seri Wong Chun Wai. Pada 17 April 2014, mStar telah melalui proses penjenamaan semula dengan memperkenalkan wajah baru yang lebih interaktif selain menekankan penerbitan video dalam usaha memperkukuhkan peranannya sebagai pembekal berita berbentuk teks dan visual. MStar kini mencatat 3.5 juta pageview dan 671,000 pelayar unik. Pengurus produk mStar, Michael A.Fredericks berkata anugerah tersebut merupakan pengesahan usaha Kumpulan Star Media untuk menembusi pasaran Melayu. Sebanyak 133 pencalonan telah dikemukakan oleh 34 buah syarikat media dari seluruh Asia dengan 13 kategori dipertandingkan bagi anugerah tahun ini.