suria

Nurul Izzah Perlu Beri Penjelasan Gambar Bersama Jacel Kiram - Ahli Parlimen

Nurul Izzah bersama Jacel (kanan).

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang meminta Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar menjelaskan mengenai sekeping gambar beliau bersama anak perempuan bekas Sultan Sulu yang mengarahkan pencerobohan Lahad Datu, dua tahun lalu.

Gambar beliau dan Jacel H.Kiram Hasan memegang poster yang tertera perkataan "release-Anwar immediately" menjadi viral di laman media sosial.

Jacel adalah anak perempuan kepada Jamalul Kiram III yang mengarahkan seramai 200 tentera Sulu menceroboh Sabah pada Februari 2013.

Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) berkata adalah tidak wajar untuk menyiarkan gambar tersebut ketika kejadian kepala pelancong dari Sarawak, Bernard Then dipenggal pada petang Selasa.

"Ia isu yang sensitif, jadi beliau harus menjelaskan kerana ia sudah menjadi viral.

"Saya tahu dia seorang yang baik hati dan tidak akan melakukan sesuatu yang jahat. Namun saya fikir dia harus memberi penjelasan mengenai gambar itu," katanya.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) turut terkejut dan berkata Nurul Izzah bertanggungjawab memberikan penjelasan mengenai gambar itu.

Sementara itu, Jimmy Wong (DAP-Kota Kinabalu) berkata Nurul sepatutnya menjelaskan kepada rakyat memandangkan isu tersebut sensitif pada masa ini.

"Saya tahu beberapa perkara tidak dapat dielakkan tetapi tiada keperluan untuk memuat naik gambar itu di laman media sosial," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain