KUANTAN: Lebih 85,000 nelayan tempatan akan melalui proses pemutihan yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan bagi mengetahui status terkini nelayan terlibat. Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Johari Ramli berkata, tujuan pemutihan itu adalah untuk mengenal pasti status mereka sama ada masih aktif sebagai nelayan ataupun sebaliknya. "Berdasarkan rekod lebih 85,000 individu telah berdaftar dan mempunyai kad sebagai nelayan di seluruh negara namun kira-kira 55,000 nelayan yang berdaftar sahaja yang menuntut elaun sara hidup daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). "Jadi kita akan melihat semula status nelayan berkenaan terutama kira-kira 30,000 nelayan lagi yang tidak menuntut elaun sara hidup sama ada masih sebagai nelayan atau macam mana," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Kakitangan Bahagian Pengembangan Dan Pemindahan Teknologi Jabatan Perikanan Malaysia, di sini, Rabu. Dalam majlis itu, beliau turut melancarkan tiga buku panduan mengenai enjin bot dan pelayaran yang akan digunakan oleh tenaga pengajar di tujuh Pusat Pengembangan Jabatan Perikanan seluruh negara. Johari berkata, LKIM telah mengenal pasti punca nelayan tidak dapat menuntut elaun sara hidup seperti tidak memenuhi syarat dan sebagainya. Katanya, program pemutihan itu akan diberi tumpuan ketika nelayan memperbaharui kad nelayan yang dipegang mereka setelah tamat tempoh. Melalui itu katanya, Jabatan Perikanan akan memeriksa lebih teliti status nelayan berkenaan sama ada masih aktif atau tidak dengan melihat bukti yang diberikan mereka. Ia juga akan mengesan pemegang kad yang sudah meninggal dunia. Katanya, mengikut peraturan perlesenan Jabatan Perikanan Malaysia mana-mana nelayan berdaftar yang tidak aktif sebagai nelayan perlu memulangkan semula kad nelayan yang dipegang oleh mereka. Dalam pada itu, Jabatan Perikanan Malaysia juga telah mula melaksanakan sistem Rekod Vesel Menangkap Ikan Malaysia (MFVR) yang mula dibangunkan dari tahun 2014 oleh LKIM dan Persatuan Nelayan Kebangsaan. Johari berkata, sistem itu akan menyimpan semua profil bot, nelayan, bantuan subsidi, status pendaratan ikan dan sebagai yang berkaitan dengan nelayan. "Melalui sistem berkenaan semua maklumat berkaitan nelayan tersebut dapat diperolehi dengan lebih mudah dan pantas," katanya. Beliau berkata, akses penggunaan sistem berkenaan juga akan dikongsi bersama agensi penguatkuasa lain bagi memudahkan mereka dapat memeriksa dengan pantas aktiviti nelayan dilaut. Katanya, melalui sistem itu penguatkuasa dapat mengesan bot nelayan asing dan sebagainya dengan lebih pantas untuk melakukan tindakan. -- Bernama