suria

KPDNKK Beri Jaminan Bekalan Makanan Cukup Hadapi Musim Banjir

Ahmad Bashah Md Hanipah.

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi jaminan bahawa bekalan makanan  kering dan basah mencukupi bagi menghadapi musim banjir tahun ini.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kementerian bersiap sedia dan mengambil langkah mengadakan pertemuan dengan pembekal di kawasan berisiko berlaku banjir bagi memastikan barangan keperluan harian terutama makanan mencukupi.

"Sekiranya berlaku banjir dan mungkin bekalan makanan dari peniaga di kawasan terlibat tidak dapat disalurkan, kita juga telah adakan pertemuan dengan pengusaha dan pembekal yang berada di luar kawasan yang selalu berlaku banjir bagi memastikan bekalan dapat terus disalurkan," katanya di Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang bertanya perancangan KPDNKK bagi memastikan bekalan makanan mencukupi pada musim tengkujuh tahun ini.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata KPDNKK telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM889,206 bagi pelbagai kesalahan melalui 1.76 juta pemeriksaan yang  dijalankan dalam Op Catut, yang bertujuan memantau harga barangan dan perkhidmatan, sejak Januari tahun ini.

"Bagi seluruh pemeriksaan dan pemantauan yang dibuat melalui Op Catut ini, kita juga telah melakukan rampasan terhadap pelbagai barangan dengan jumlah  keseluruhan nilai rampasan ialah RM1.24 juta," katanya.

Ahmad Bashah berkata KPDNKK sentiasa mengambil langkah mengetatkan pemantauan terhadap harga barang bagi mengelakkan peniaga, pemborong dan pengeluar mengambil kesempatan menaikkan harga.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching berkata bagi tempoh Januari hingga 30 Sept tahun ini, sejumlah 100,683  permohonan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah diluluskan.

"Pinjaman ini melibatkan jumlah keseluruhan RM2.08 bilion sehingga tamat pengajian," katanya yang menjawab soalan Su Keong Siong (DAP-Ipoh Timur). Su meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan jumlah kelulusan pinjaman PTPTN kepada pelajar institusi pengajian tinggi sepanjang tahun ini. - BERNAMA

banjir, KPDNKK

Artikel Lain