SEREMBAN: Seorang pemandu lori maut tertimbus pasir selepas lori dengan muatan pasir yang dipandunya hilang kawalan ketika menuruni bukit di Jalan Seremban - Jelebu di Bukit Tangga, dekat sini pagi Khamis. Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Razali Abd Khadir berkata dalam kejadian lebih kurang jam 9.20 pagi itu, mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Chandran, berusia dalam lingkungan 50-an dalam perjalanan mengangkut pasir dari Jelebu menghala ke Seremban. Beliau berkata siasatan awal mendapati lori mangsa mengalami masalah brek menyebabkan lori yang dipandunya terbabas ke bahu jalan ketika menuruni bukit itu. "Ketika operasi, kami dapati terdapat seorang mangsa yang terperosok di bawah jentera (serta) timbunan pasir dan pihak bomba berjaya mengeluarkan mangsa dalam tempoh enam minit," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini Khamis. Razali berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, di sini bagi tujuan bedah siasat. - BERNAMA