suria

Bajet 2016: Kerajaan Johor Peruntukan Belanjawan Pembangunan Lebih Setengah Bilion

Mohamed Khaled Nordin menunjukkan buku pembentangan Bajet Negeri Johor 2016 ketika menghadiri Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke-13 di Bangunan Sultan Ismail,Kota Iskandar Nusajaya pada Khamis. -fotoBERNAMA

NUSAJAYA: Kerajaan negeri Johor pada Khamis mengumumkan peruntukan belanjawan pembangunan lebih setengah bilion dalam Bajet 2016 yang bertemakan Inklusif, Lestari dan Sejahtera untuk Johor.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan RM541.10 juta itu merupakan yang tertinggi pernah disediakan dalam sejarah pentadbirannya berbanding hanya RM366.20 juta yang disediakan pada tahun lalu.

Menurut beliau, berdasarkan peruntukan itu, kerajaan berkemampuan menyediakan RM155 juta untuk projek dan program pembangunan fizikal, sosial selain projek berkepentingan awam lain.

Baki selebihnya pula diagih kepada projek dan program ekonomi (RM213 juta), pembangunan infrastruktur dan kemudahan pentabdiran (RM95.1 juta), pembangunan agama Islam (RM45 juta) dan pengairan dan saliran (RM33 juta).

Bagi memastikan Bajet 2016 seimbang, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM904.11 juta untuk perbelanjaan tanggungan dan bekalan jabatan-jabatan kerajaan, dan RM520 juta lagi dikhususkan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

Bajet ini dipasak pada enam teras yang akan menjadi keutamaan perancangan pembangunan inklusif kerajaan negeri.

Setiap teras ini akan disokong dengan pelbagai agenda besar, titik sentuhan dan inisiatif yang sesuai, inovatif dan perlu bagi menjayakannya, kata Mohamed Khaled ketika membentangkan Bajet Johor 2016 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor yang ke-13, di sini Khamis.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas itu berkata, bajet kali ini juga merupakan pelan terancang untuk mengangkat kesejahteraan rakyat Johor pada tahap yang lebih baik, selain manifestasi pengiktirafan di atas segala kerja keras, pengorbanan dan sokongan rakyat selama ini.

Tambahnya, kerja keras dan sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi itulah yang telah meletakkan Johor sebagai negeri yang semakin membangun, berdaya saing dan sejahtera pada hari ini.

Bajet 2016 juga adalah sebahagian daripada perancangan jangka masa panjang untuk beralih dari sebuah negeri berpendapatan sederhana kepada sebuah ekonomi berkesejahteraan dan inklusif, melangkaui unjuran dan perkiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNKK) semata-mata, katanya. - BERNAMA

Bajet 2016, Johor

Artikel Lain