Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata lawatan Obama ialah bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 dengan pemimpin-pemimpin rakan dialog ASEAN adalah untuk kepentingan rantau ini dan Malaysia.
"Jangan lihat aspek negatif kepada lawatan ini. Saya harap mereka tidak meneruskan usaha ini," katanya selepas majlis Menandatangani Perjanjian Mencegah dan Membanteras Jenayah Berat bersama Amerika Syarikat di sini, Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai badan bukan kerajaan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang berhasrat mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat di Bangunan Tabung Haji berdekatan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak di sini.
"Saya harap mereka akan lebih berlapang dada dan berfikiran terbuka dan ia adalah penting untuk menterjemahkan tatasusila rakyat Malaysia iaitu menghormati tetamu apatah lagi tetamu yang penting dan imej tuan rumah mesti dijaga semua pihak," katanya.