ASSALAMUALAIKUM. Setelah selesai menyempurnakan tawaf qudum dan saie haji bagi jemaah yang mengambil haji ifrad manakala tawaf umrah dan saie umrah serta tahalul di kalangan jemaah haji tamatuk, semua jemaah berulang alik ke Masjidil Haram untuk mengerjakan ibadat solat fardu dan sunat. Semua tampak gigih beribadat. Namun, dalam kesibukan itu, ada segelintir jemaah mula batuk, sakit tekak, demam dan selesema. Sakit-sakit ringan itu sebenarnya sukar dielakkan kerana cuaca ketika itu panas dan mencecah 45 darjah Celsius. Ada yang mula meminta dan bertanya ubat-ubatan. Alhamdulillah, ada yang murah hati untuk menghulurkan bantuan ubat-ubatan dan tidak kurang juga memberi cadangan membeli ubat yang sesuai di farmasi berhampiran. Dalam pada menunggu tiba waktu berangkat ke Arafah, saya teruja meninjau ke kawasan tapak insiden kren tumbang pada 11 September 2015 yang mengorbankan lebih 100 jemaah dari seluruh dunia, termasuk lima dari Malaysia. Justeru, selepas solat Subuh pada hari Isnin iaitu 21 September, saya mengajak seorang rakan jemaah ke tempat berkenaan. “Kak Zaini, jom kita jalan ke tempat kren tumbang,” pinta saya. “Ok boleh,” balas beliau ringkas. Berjalanlah kami berdua keluar dari masjid melalui pintu berhampiran kawasan saie untuk ke tempat insiden. Tidak sampai 10 minit, ternampaklah kami kren yang tumbang dalam kejadian ribut pasir dan hujan lebat selepas waktu Asar itu. Kawasan itu dikepung dan dikawal. Tiada sesiapapun dibenarkan masuk ke kawasan yang dikepung dengan papan pelapis berwarna putih biru. Hati terasa sayu. Kelihatan ramai jemaah yang turut melalui kawasan berkenaan. Ia turut menjadi perhatian ramai kerana insiden itu meninggalkan kesan mendalam kepada setiap jemaah yang menunaikan ibadat haji pada tahun ini. Masih segar dalam ingatan saya, setiap orang yang mengetahui saya akan berangkat menunaikan haji menasihatkan saya agar jaga diri dan berhati-hati selepas mengetahui insiden kren tumbang. Tambahan pula insiden itu berlaku enam hari sebelum saya berangkat ke Tanah Suci. Saya mengetahui mengenai insiden itu pada kira-kira jam 11 malam ketika sedang melayari Instagram lantas menghantar whatsapp kepada rakan di Makkah untuk mendapatkan maklumat lanjut. Sejurus itu beliau menghantar gambar tragedi dan mengatakan turut membabitkan kematian jemaah namun berita rasmi mengenainya belum diterima ketika itu. Namun, ia tidak pula menimbulkan kebimbangan dan kegentaran pada hati saya. Kematian itu pasti datang pada setiap yang bernyawa. Ia sudah ditentukan oleh Maha Esa. Hanya bila, di mana dan bagaimana tidak diketahui. Berjalanlah saya dan kak Zaini menuju ke kawasan kren tumbang. Sesekali saya mengambil gambar. Terasa sebak melihat persekitaran kawasan Masjidil Haram. Saya akan melalui kawasan itu jika membawa jemaah menziarahi tapak yang dipercayai rumah Rasulullah S.A.W dilahirkan dan kini dijadikan perpustakaan atau maktabah. Bukan saya sahaja yang mengambil gambar malah jemaah lain turut merakamkan kawasan kren tumbang. Kren belum lagi diangkat dan masih jelas ia tumbang di atas kawasan saie paras atas dan turut menjejaskan ruang tawaf di mataf tingkat atas. Kawasan kren tumbang hanya dimasuki pekerja kontrak. Setelah melalui kawasan itu kira-kira 20 minit, saya dan kak Zaini pulang semula ke hotel penginapan untuk bersarapan. Setelah bersarapan, kak Zaini naik semula ke bilik 313A manakala saya pula masih duduk di dewan makan kerana pada jam 8.30 pagi, taklimat perjalanan ke Arafah, Muzdalifah dan Mina diberikan oleh pengurus rombongan, Haji Masrol Apandi. Tepat jam 8.30 pagi, Haji Masrol mula memegang hailer manakala jemaah mula berkumpul di ruang solat yang terletak berhampiran dewan makan di hotel berkenaan. Semua memberi tumpuan kepada setiap yang diperkatakan. Sebelum Haji Masrol menyampaikan taklimat perjalanan ke Arafah, Ustaz Abdullah Asri menyampaikan tazkirah ibadat haji. Setelah sesi soal jawab selesai, jemaah membawa haluan masing-masing. Ada yang masih bertanya secara persendirian dan ada juga bergerak ke masjid untuk iktikaf. Pada Selasa pagi, suasana di Masjidil Haram kian lengang. Jemaah mula bergerak ke Arafah. Setelah Subuh jemaah mula menaiki kenderaan di depan hotel untuk menuju ke Arafah. Pada waktu dhuha dan Zuhur, masjid agak lengangg. Tidak ramai jemaah tawaf malah ruang solat di masjid tidak menjadi rebutan. Selesai waktu Zuhur, saya singgah seketika di pasaraya mini di dalam Hotel Safwa Royale Orchid. Saya mencapai roti, kek, gula-gula, biskut dan payung sebagai bekalan tambahan ke Arafah, Muzdalifah dan Mina. Biar berlebih jangan berkurang. Detik hati saya. Biarpun di khemah di Arafah dan Mina dibekalkan makanan dan minuman, tetapi saya tetap membawa bekalan tambahan. Jika saya tidak memerlukannya, mungkin boleh berkongsi dengan jemaah lain. Setelah empat malam menginap di Hotel al-Jewar, tibalah masa untuk melalui ibadat kemuncak haji iaitu berwukuf di Arafah. Pakaian dan keperluan ke Arafah diatur rapi. Perlu dipastikan tiada barang yang tertinggal atau tercicir kerana selepas berwukuf di Arafah, jemaah perlu singgah seketika di Muzdalifah dan seterusnya bermalam di Mina. Wukuf pada Rabu iaitu 23 September 2015. Justeru, pada Selasa, jemaah haji berangkat menuju Arafah sama ada berjalan kaki, menaiki kereta, van dan bas. Ada yang berangkat selepas Subuh pada Selasa dan ada juga yang bergerak ke Arafah selepas Isyak. Rombongan jemaah haji Destinasia Travels berangkat ke Arafah selepas Mahgrib, iaitu menghampiri waktu Isyak. Sebahagian besar jemaah berpakaian serba putih meninggalkan hotel penginapan. Semua kelihatan tenang. Alhamdulillah, perjalanan ke Arafah hanya mengambil masa kira-kira satu setengah jam. Kami tidak melalui kesesakan lalu lintas yang teruk. Dalam perjalanan, hujan renyai. Saya menerima whatsapp daripada sahabat, Zuraini yang sudah tiba di Arafah sejak petang lagi. Whatsapp beliau antara lain mengatakan bahawa hujan lebat dan ribut pasir di Arafah. Namun saya tetap tenang dan tidak memaklumkannya kepada jemaah lain. Syukur ketika kami tiba di maktab 68 di Arafah, tiada pula hujan lebat dan ribut pasir yang perlu ditempuhi. Segala-galanya sudah berakhir ketika rombongan kami memijakkan kaki di padang Arafah pada hampir jam 10 malam waktu tempatan. Setelah tiba di dalam khemah yang hanya menempatkan satu lampu kalimantang, jemaah membentangkan beg tidur atau sleeping bag yang dibekalkan oleh Destinasia Travels kepada setiap jemaah. Bagi mereka yang baru kali pertama menunaikan ibadat haji, keadaan seumpama itu sangat asing kerana tentu sekali tidak menyangka akan menempuh situasi berkenaan. Suasana suram atau malap kerana hanya bertemankan lampu kalimantang, tiada alat penghawa dingin dan tiada kipas angin menguji kekuatan dan semangat untuk beribadat. Mujur juga tandas tidak jauh dari khemah kami dan keadaan tandas jauh selesa berbanding ketika saya menunaikan haji 15 tahun lalu iaitu pada Februari 2000. Ketika ini, deretan tandas sama ada cangkung mahupun duduk tidak menimbulkan masalah kepada jemaah kerana air juga deras selain tempat wuduk berasingan dan berfungsi sepenuhnya. Namun, dalam keselesaan mendapatkan air, saya tetap menasihatkan jemaah agar tidak perlu mandi ketika di Arafah kerana bimbang menimbulkan kesulitan kepada jemaah lain yang turut menanti untuk menggunakan tandas selain kekhuatiran tersasar melanggar pantang larang ihram. Malam kian larut. Mata semakin mengantuk. Seorang demi seorang jemaah sudah tidur. Saya sukar melelapkan mata. Berpusing ke kanan dan ke kiri. Entah jam berapa mataku terlelap dan tertidur lena sehingga jam 3.30 pagi. Saya lihat beberapa jemaah sudahpun bangun dan duduk di atas sejadah. Saya bingkas bangun dan berjalan menuju ke tandas. Suasana masih sepi. Tidak ramai jemaah di dalam tandas menunggu giliran. Membersihkan diri dan berwuduk sebelum kembali semula ke khemah. Hampir semua jemaah terjaga daripada tidur menjelang Subuh pada jam 5 pagi. Selesai solat Subuh berjemaah dalam kumpulan kecil, kami duduk diam di dalam khemah. Ada yang membaca dan ada yang berzikir. Setelah terbit fajar, saya keluar dari khemah untuk menjengok ke khemah yang menempatkan ketua rombongan dan petugas lelaki. “Sekejap lagi sarapan sampai hajah,” kata Haji Hadi, seorang daripada petugas haji yang cukup berpengalaman. “Oh ok. Baiklah. Terima kasih,” jawab saya ringkas. Saya berjalan sekitar khemah di maktab 68 yang menempatkan kira-kira 4,000 jemaah. Tidak lama selepas itu, kelihatan Haji Hadi dan Muhamad sedang membawa sarapan yang siap dipek untuk jemaah rombongan kami. Beliau terus membawa sarapan itu ke depan khemah wanita dan saya mengagih-agihkanya kepada jemaah yang setia menunggu. Di dalam pek itu ada roti kosong, jem, mentega, telur rebus, buah dan minuman kotak. Sejurus mendapat sarapan, semua jemaah membuka pek makanan dan tanpa banyak cakap terus menikmatinya. Bekalan dari tanah air seperti serunding atau sambal kering sangat berguna ketika itu untuk membangkitkan selera. Sementara menunggu waktu wukuf iaitu apabila masuk waktu Zuhur pada jam 12.30 tengah hari, jemaah bersiap sedia membersihkan diri seorang demi seorang selepas bersarapan. Ikuti catatan seterusnya pada minggu hadapan insha Allah mengenai pengalaman jemaah berdepan dengan cuaca panas 50 darjah Celsius ketika wukuf di Arafah.